Sunday 25 March 2018

MATTA tidak setuju larangan surcaj kad kredit


KUALA LUMPUR 23 Mac – Persa­tuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) tidak berpuas hati dengan larangan surcaj terhadap pembayaran melalui kad kredit kerana boleh mendatangkan kesulitan kepada ahlinya dan orang awam yang melancong.

Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang berkata, agensi serta syarikat pelancongan beroperasi dengan marjin yang rendah, tidak seperti kedai runcit di pusat membeli-belah.

“Disebabkan marjin rendah itu, surcaj perlu dikenakan ke atas pembayaran kad kredit hanya untuk mendapatkan semula kos Kadar Diskaun Peniaga (MDR) yang dikenakan oleh bank,” katanya dalam kenyataan di laman web MATTA di sini hari ini.

Menurut Kok Liang, cara mudah bagi agensi dan syarikat pelancongan adalah dengan memasukkan MDR ke dalam harga, namun itu adalah tidak adil kepada majoriti pelanggan yang membayar secara tunai, cek atau dalam talian.

“Ia akan memberi lebih banyak manfaat kepada pengguna apabila caj yang dikenakan adalah telus dan dengan serendah yang mungkin,” ujarnya.

Mengulas lanjut katanya, adalah lebih baik jika Bank Negara Malaysia (BNM) meneroka kemungkinan untuk memansuhkan MDR atau mengurangkan kadar itu terutama bagi jumlah yang besar.

“Ini akan memberi manfaat kepada pengguna dan juga perniagaan yang besar, sekali gus meransang pertumbuhan pembayaran tanpa tunai di negara kita,” katanya.


Tambah beliau, ahli MATTA perlu mematuhi kod etika persatuan, termasuk menjalankan operasi perniagaan yang sah dengan cara yang adil dan telus.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.