Tuesday 29 December 2015

57 rebut gelaran Miss Tourism 2015

WARANGKANANG WUTTHAYAKORN (kiri) dan Yada Theppanom tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, semalam. Utusan/RASHID MAHFOF
SEPANG 28 Dis. – Sebanyak 57 peserta bakal berentap bagi merebut gelaran Miss Tourism Queen of the Year International 2015 yang akan dipertandingkan di Hotel Marriot Putrajaya, Khamis ini.


Presiden Miss Tourism International, Tan Sri Danny Ooi berkata, pertandingan tersebut yang akan diadakan serentak dengan sambutan tahun baharu 2016 bakal menyaksikan semua peserta tersebut turut bersaing merebut lima gelaran lain.

“Keunikan pertandingan kali ini kesemua peserta terbabit juga akan merebut lima gelaran lain iaitu Miss Tourism Queen of the Year International, Miss Tourism Metropolitan International, Miss Tourism Global International, Miss Tourism Cosmopolitan International dan Dreamgirl of the Year International.

“Pada masa sama, pertandingan kali ini juga akan mempromosikan negara ini melalui tema Malaysia Truly Asia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Ooi, semua peserta yang akan berada di negara ini selama 18 hari sebelum acara akhir tersebut bermula, turut bakal mempromosikan produk pelancongan, kebudayaan dan semangat setiakawan.

Beliau berkata, pertandingan itu merupakan salah satu usaha pihaknya bagi mempromosikan produk pelancongan dalam negara ke peringkat antarabangsa.

“Pelbagai aktiviti disediakan untuk peserta terbabit antaranya program lawatan ke Kuala Lumpur, Melaka dan aktiviti berbentuk kemasyarakatan,” katanya.

Sementara itu, dua bekas pemenang pertandingan kecantikan iaitu Miss Tourism Queen of the Year International 2014, Warangkanang Wutthayakorn dan Miss South East Asia Tourism Ambassadress 2015, Yada Theppanom tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini bagi memeriahkan lagi acara pertandingan tersebut.

Wutthayakorn yang merupakan juara pada tahun lalu akan menyerahkan mahkota dimenanginya kepada pemenang tahun ini.
-Utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.