Wednesday 31 December 2014

Tourism Malaysia Pulau Pinang Anjur Program Countdown Amal 2015 Untuk Bantu Mangsa Banjir

GEORGE TOWN, 31 Disember 2014 – Tourism Malaysia Pulau Pinang dengan kerjasama pelbagai agensi swasta telah menganjurkan program Countdown Amal 2015 bermula hari ini hingga 9 Januari bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Johor dan Negeri Sembilan.

Sehubungan dengan itu, Tourism Malaysia Pulau Pinang turut melahirkan rasa simpati terhadap mangsa-mangsa banjir di negeri-negeri tersebut.

Program yang melibatkan kerjasama PLUS Cawangan N6 (Jambatan Pertama Pulau Pinang), Stesen Petrol SHELL AMN Cawangan Mak Mandin (Butterworth), Syarikat Elang Wah Sdn Bhd (pengendali bas city tour, Penang Hop on Hop Off) dan Stesen radio Pi Mai FM ini telah menjalankan kutipan derma melalui Tabung Kemanusiaan Mangsa Banjir.

Pejabat Tourism Malaysia Pulau Pinang yang beralamat di No 11, Lebuh Pantai, 10300 George Town, bertindak sebagai pusat pengumpulan sumbangan daripada orang ramai. Sumbangan kutipan derma berbentuk wang ringgit atau barangan keperluan akan disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir melalui pertubuhan Mercy Malaysia.

Sebagai hebahan kutipan amal Tabung Kemanusian Mangsa Banjir, sumbangan kolateral oleh Tourism Malaysia bersama risalah maklumat kutipan derma telah diedarkan kepada para pengguna Tol Jambatan Pertama Pulau Pinang bermula jam 12.00 tengah hari hingga 2.00 petang dan turut diedarkan kepada pembeli-pembeli petrol di Stesen SHELL AMN Mak Mandin (Butterworth) bermula jam 3.00 petang hingga 5.00 petang. Program ini turut dijayakan dengan bantuan 10 orang peserta Voluntourism dari UiTM Permatang Pauh.

Syarikat Elang Wah Sdn Bhd, pengusaha bas city tour Penang Hop On Hop Off turut menyumbang usaha dalam hebahan program ini dengan mengedarkan risalah kutipan derma tersebut di dalam bas mereka.

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Cik Haryanty Abu Bakar, Timbalan Pengarah, Tourism Malaysia Pulau Pinang di talian 04 261 0058 atau emel
haryanty@tourism.gov.my.
-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.