Tuesday 21 August 2018

Kota Bharu berpotensi jadi Tapak Warisan Dunia UNESCO


KOTA BHARU, 20 Ogos (Bernama) -- Beberapa lokasi di Kota Bharu berpotensi menjadi tempat warisan kebangsaan dan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Persatuan Bangsa Bersatu (UNESCO).

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata antara tempat yang dikenal pasti adalah Masjid Muhammadi, Istana Jahar dan Tambatan Diraja di sini.

Beliau berkata perkara itu dibincangkan ketika mengadakan pertemuan dengan Tengku Temenggong Kelantan Tan Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz di Istana Kota Lama di sini, hari ini.

"Kawasan berkenaan berpotensi untuk menjadi Tapak Warisan Dunia UNESCO walaupun ia melibatkan masa yang panjang.

"Kajian mungkin boleh dilakukan oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang mempunyai fakulti khusus dalam penyelidikan tentang bahan sejarah, seni dan warisan yang ada di bandar ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat bersama Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan Datuk Md Anizam Abdul Rahman serta pemain industri pelancongan di Kelantan di sini.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Bakhtiar berkata Kelantan juga berpotensi untuk menjadi hub pelancongan antarabangsa dan domestik di pantai timur kerana kedudukannya yang strategik bersempadan dengan Thailand yang boleh menarik lebih ramai pelancong asing ke negara ini.


"Selain itu, ramai pelancong yang menjadikan Kelantan sebagai tempat persinggahan sebelum mereka bergerak ke Pulau Perhentian, Terengganu," katanya.
-bernama.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.