Thursday 5 April 2018

Rumah aneh jadi tarikan di Changlun

Aksi pengunjong berdiri dalam keadaan senget di hadapan rumah senget
di Kampung Changkat Setol, Changlun, Kedah.

TARIKAN rumah senget ber­kembar, terbalik dan hobbit menggamit kedatangan penulis ke MnM Home Whimsical Houses walaupun perlu me­nempuh perjalanan dari bandar Alor Setar ke Kampung Changkat Setol, Changlun yang mengambil masa hampir 45 minit.

Menyusuri jalan kampung yang kecil hampir satu kilometer sambil disajikan panorama deretan rumah, ladang getah dan dusun buah-buahan adakala menimbulkan keraguan tentang kewujudan rumah-rumah unik dan pelik yang pernah menjadi tular pada tahun lalu di kawasan berkenaan.

Ternyata sebaik tiba di kawasan MnM Home Whimsical Houses, binaan rumah senget berkembar berwarna jingga dan ungu pasti menarik perhatian sesiapa sahaja yang mengunjunginya.

Rumah senget berkembar me­rupakan tarikan utama di MnM Home Whimsical Houses kerana bangunan dua tingkat yang diins­pirasikan daripada sebuah kafe terkemuka di Korea Selatan itu dikatakan adalah yang pertama dibina di negara ini.

Selain itu, rumah hobbit juga antara tarikan di MnM Home Whimsical Houses yang diinspirasikan daripada filem Hollywood, The Lord of the Ring.

Rumah ini dihiasi perabot khas bagi menyesuaikan binaan yang berketinggian hanya satu meter.

Sudah tentu tidak lengkap galeri aneh dan pelik tanpa binaan rumah terbalik di MnM Home Whimsical Houses yang sememangnya menjadi tarikan kepada penggemar berswafoto dari dalam dan luar negara.

Ditanya mengenai idea mewujudkan MnM Home Whimsical Houses, pemiliknya, Dr. Mahamad Tayib berkata, dia terlebih dahulu mengusahakan inap desa untuk memanfaatkan kawasan seluas 0.8 hektar itu sebelum membina rumah-rumah aneh berkenaan.

“Pada hujung tahun 2015, saya membina rumah untuk dijadikan inap desa. Disebabkan pelanggan inap desa hanya bermusim, maka saya me­rancang mengadakan aktiviti lain bagi mewujudkan produk pelancongan baharu di kawasan Kubang Pasu, khususnya Changlun.

“Balik dari Sabah, saya mendapat idea untuk membina rumah terbalik di utara Semenanjung.Bagaimanapun untuk mencari kelainan, saya telah meminta anak-anak mencari binaan rumah lain yang mungkin boleh dijadikan tarikan di MnM Home Whimsical Houses,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Mahamad, pembinaan tiga rumah yang menjadi tarikan utama di MnM Home Whimsical Houses bermula pada awal 2016 dengan kos pembangunan keseluruhan kawasan tersebut mencecah hampir RM1 juta.

“Ternyata usaha untuk merea­lisasikan pembinaan rumah senget berkembar, hobbit dan terbalik bukan mudah. Pelbagai cabaran yang perlu dihadapi, antaranya rumah hobbit yang baru siap dibina telah dilanda banjir disebabkan mata air bawah tanah.

“Malah pembinaan rumah sen­get berkembar dan terbalik mengambil masa yang panjang untuk disiapkan. Namun untuk mencapai sasaran pembukaan pada 1 Mei tahun lalu, kami sekeluarga berusaha keras termasuk menyiapkan sendiri lukisan-lukisan mural dan kerja-kerja mengecat bagi menceriakan kawasan MnM Home Whimsical Houses ini,” ujar bapa kepada sembilan anak itu.

Mahamad memberitahu, pi­haknya dari semasa ke semasa menambah tarikan di MnM Home Whimsical Houses bagi memberi kepuasan kepada pengunjung­nya, di samping mahu memberi menghidupkan suasana santai sambil menikmati pemandangan kampung yang mendamaikan.

“Di sini ada rumah Red Indian yang siap dibina Disember lalu, selain dua rumah permainan unik untuk tetamu cilik, rumah pokok dan rumah kelulut.

“Di sekeliling kawasan ini juga terdapat pokok buah-buahan se­perti limau bali, mata kucing dan rambutan yang boleh dinikmati pengunjung. Bagi menarik minat tetamu cilik, kami mengadakan petting zoo yang menempatkan rusa, arnab, ayam belanda, angsa, itik dan kambing,” katanya.

Bagi membolehkan pengunjung menerokai kawasan MnM Home Whimsical Houses dalam keada­an santai tanpa had waktu, kata Mahamad, pihaknya mene­rima kedatangan tetamu berdasarkan tempahan pada Isnin hingga Rabu.

“Setiap Khamis, tempat ini akan ditutup, manakala Jumaat hingga Ahad pula pengunjung boleh datang secara walk in dari pukul 10 pagi hingga 5 petang,” ujar bekas pensyarah perakaunan itu.

Bagi mereka yang berminat untuk berkunjung ke MnM Home Whimsical Houses boleh menghubungi talian 019-4488197 atau 019–4111195, selain berkunjung ke laman Facebook: MnM Home Whimsical Houses mahupun Instagram: mnmhome_goods.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.