Walaupun tiada kawah dapat dilihat, namun pengalaman mendaki ke puncak Maria yang pernah memuntahkan lahar tentunya mengujakan. Ini diakui sekumpulan sukarelawan yang mengadakan ekspedisi bagi tujuan mendokumentasikan keunikan khazanah alam di pergunungan itu pada 25 Februari hingga 5 Mac 2016.

Salah seorang anggota ekspedisi, Nik Khairul Amri, berkata, ekspedisi itu bertujuan mengumpul data berkaitan khazanah hutan di Gunung Lucia, Gunung Magdalena dan Gunung Maria yang terletak dalam kawasan Taman Bukit Tawau, kira-kira 24 kilometer dari bandar Tawau, Sabah.

Menurutnya, ekspedisi yang diketuai oleh Laili Basir itu turut membawa jurugambar profesional bagi merakamkan gambar flora dan fauna di sepanjang laluan mendaki ke puncak gunung tersebut.

“Kami mengambil masa lima hari bagi menamatkan ekspedisi. Antara lain, misi ekspedisi adalah mendokumentasikan khazanah alam sebelum hutan sekitarnya musnah dek pembangunan,” katanya kepada S2.

Beliau melahirkan kebimbangan kerana terdapat dua projek yang boleh menjejaskan ekosistem gunung tersebut. “Kami dapati terdapat projek geothermal bagi menjana tenaga elektrik di kaki gunung, selain projek empangan yang sedang dalam perancangan. “Kami bimbang jika pembangunan tidak dikawal, ia akan merosakkan khazanah alam yang tersimpan di gunung tersebut,” katanya.

Ekspedisi ini dianjurkan oleh Hugs Project dengan kerjasama sukarelawan dari Persatuan Malim Gunung Malaysia dan Luar Biasa Photography.

Dalam pada itu, Nik Khairul berkata, beliau difahamkan saiz kawah Gunung Maria adalah dua kilometer persegi. Katanya, semasa mendaki, mereka dapat melihat susunan pokok yang menunjukkan kawasan kawah terletak di situ.

“Semasa kami berdiri di satu lereng, kami nampak pokok di situ ‘berdiri’ dalam kedudukan yang memperlihatkan bentuk seperti kawah. Apabila disemak melalui Google Earth, kami dapati kawasan itu adalah bekas kawah yang pernah memuntahkan lahar satu ketika dahulu,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi sukarelawan, Mohammad Mohammad Salleh, berkata, misi mendokumentasikan gunung berapi pendam itu juga dilakukan dari sudut ekopelancongan dan geopelancongan.

Menurutnya, dalam ekspedisi itu, mereka menemui pokok bersaiz ‘gergasi’ serta haiwan liar dan tapak kaki seperti gajah pigmi, landak, kijang dan harimau kumbang. “Tiada aktiviti pembalakan di hutan ini menyebabkan saiz pokok di sini sangat luar biasa besarnya,” katanya.

Mengulas mengenai pendakian, katanya,laluan ke puncak Gunung Maria dirintis oleh mereka. “Kami buka laluan mendaki dari puncak Lucia ke puncak Maria. Laluan ke puncak Lucia sudah dibuka kepada pendaki pada 2008, tetapi tidak ramai yang tahu mengenainya,” katanya.
-utusan online.