Monday 5 November 2018

UTM bantu ekopelancongan Pulau Tanjung Surat

PULAU Tanjung Surat yang kaya dengan hutan paya bakau
mampu menjadi tarikan pelancong.

UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) telah mengenal pasti banyak tarikan alam sekitar dan kesan peninggalan sejarah di Pulau Tanjung Surat, Kota Tinggi, Johor, yang belum dikomersialkan. Pulau yang pernah menjadi pintu masuk di wilayah Johor timur pada kurun ke-19 itu sukar berkembang pesat jika tiada usaha dibuat bagi memajukan ekopelancongan di pulau tersebut.

Oleh itu, UTM telah mengambil inisiatif melalui program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankannya, sekali gus diharap mampu memberi manfaat kepada para penduduk di pulau itu.

Menurut pensyarah Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM, Dr. Hisyam Rasidi, antara yang dikenal pasti adalah hutan paya bakau di Pulau Tanjung Surat yang kaya dengan pelbagai jenis flora dan fauna.

“Terdapat banyak hutan paya bakau di sekeliling pulau ini dengan pelbagai spesies kayu bakau yang amat tinggi nilai dan kegunaannya, dan boleh diteroka oleh para pengunjung dengan menggunakan bot.

“Juga terdapat pelbagai jenis hidupan liar termasuk burung dan hidupan marin yang boleh dijadikan tarikan buat para pelancong asing termasuk dari Singapura yang mudah untuk datang ke sini.

“Antara usaha yang dilakukan UTM ialah memulihara ekosistem alam sekitar selain membantu melatih penduduk di sini sebagai pemandu pelancong dalam bidang ekopelancongan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Pulau Tanjung Surat yang mempunyai tiga buah kampung iaitu Kampung Linting, Kampung Tanjung Surat dan Kampung Nyior juga kaya dengan kesan-kesan sejarah peninggalan penjajah British. Pulau yang kini didiami kira-kira 200 keluarga itu antaranya pernah dijadikan pelabuhan kecil di bawah pentadbiran Datuk Penggawa Timur ketika era pemerintahan Sultan Abu Bakar.

Pulau Tanjung Surat turut kaya dengan seni pembuatan jong atau kapal layar kecil oleh para penduduk kampung sebagai mata pencarian tambahan selain menjadi nelayan. Salah seorang pengukir jong, Mohd. Yatim Atan, 49, berkata, dia banyak menerima tempahan membuat jong sama ada bersaiz kecil atau sederhana untuk dijadikan sebagai barangan cenderahati buat pelancong.

“Jong paling kecil saya buat sepanjang setengah meter yang dijual dengan harga sekitar RM150 dan yang paling besar pula sehingga dua meter dengan harga mencecah RM750 bagi sebuah jong.

“Selain dijadikan hiasan rumah, jong yang besar juga dijadikan permainan serta pertandingan di sekitar pantai di pulau ini yang juga menarik ramai pemain dari Singapura dan Indonesia.

“Saya jadikan kerja membuat jong sebagai kerja sambilan jika tidak turun ke laut menangkap ikan. Biasanya, dalam sebulan saya mampu menyiapkan lima buah jong yang ditempah oleh para pelanggan,” ujarnya.


Program yang diketuai Prof. Dr. Mohd Zaki Kamsah dari Fakulti Kejuruteraan UTM, Skudai itu turut membabitkan Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan dan Pusat Penyelidikan Marin UTM. Turut hadir dalam tinjauan sehari ke beberapa tempat yang berpotensi tinggi untuk dibangunkan sebagai sektor ekopelancongan itu ialah Naib Cancelor UTM, Tan Sri Dr. Salleh Mohd Nor.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.