Sunday 24 October 2021

Elakkan Daripada Menggunakan Khidmat Pengusaha Pelancongan Tidak Berlesen Dengan MOTAC

 


22 Oktober 2021 - Pasukan Penguatkuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah membuat pemantauan berterusan termasuk di atas talian susulan daripada dapatan tinjauan di Pulau Langkawi pada awal Oktober 2021 yang mendapati terdapat pelancong telah menggunakan khidmat pengusaha pelancongan tidak berlesen dengan MOTAC.

Selaras dengan pembukaan semula sektor pelancongan, MOTAC ingin menyeru agar para pelancong dan Keluarga Malaysia dapat menggunakan perkhidmatan pengusaha pelancongan berlesen dengan MOTAC semasa membuat tempahan pakej perkhidmatan pengangkutan, penginapan, pelancongan, tiket lawatan atau apa-apa perkhidmatan bersampingan agar dapat mengelakkan kes-kes penipuan. Dalam hubungan ini, Keluarga Malaysia boleh membuat semakan melalui laman sesawang rasmi MOTAC sebelum membuat tempahan (www.motac.gov.my/semakan/tobtab). Sehingga kini, sebanyak 4,607 pengusaha pelancongan yang berlesen dengan MOTAC.

Bagi pengusaha pelancongan berlesen adalah diingatkan agar tidak menjalinkan kerjasama dengan mana-mana individu/ ulat pakej/ freelance/ agensi pelancongan tidak berlesen dalam menawarkan pakej pelancongan mahupun bayaran komisen atau jualan dan diskaun. Sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM50,000.00 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali, selaras dengan Peraturan 6(1)(f), Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan) 1992.

Merujuk kepada Seksyen 5(2), Akta Industri Pelancongan (Akta 482), tiada seorang pun boleh menjalankan atau mengendalikan, atau menganjurkan dirinya sebagai menjalankan atau mengendalikan perniagaan pengendalian pelancongan; atau perniagaan agensi pengembaraan melainkan jika ianya merupakan sebuah syarikat dan pemegang lesen sah. Bagi kesalahan pertama sekiranya disabitkan kesalahan, denda maksimum adalah sebanyak RM500,000.00 atau penjara 10 tahun, atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan yang berulang, denda maksimum RM5,000.00 bagi setiap hari kesalahan itu terus dilakukan.

Hasrat MOTAC adalah untuk memastikan Keluarga Malaysia dilindungi serta mendapatkan khidmat melalui pakej pelancongan yang telus. Dengan tindakan yang diambil ini juga, ianya diharapkan dapat membantu dalam memulihkan rantaian ekonomi pengusaha pelancongan berlesen yang telah lama terjejas.

Sebarang aduan atau maklum balas agensi/orang awam berkaitan dengan pengusaha pelancongan tidak berlesen boleh dimajukan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam MOTAC (https://motac.spab.gov.my/).

-MOTAC.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.