Wednesday 26 August 2020

Majlis Pelancaran Promo TV Kempen Cuti-cuti Malaysia Dan Pengumuman Pemenang Video Muzik Cuti-cuti At Home

 


KUALA LUMPUR, 26 OGOS 2020 – Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya telah melancarkan Promo TV Kempen Cuti-Cuti Malaysia bertempat di Dewan Tun Dr. Ismail, World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur hari ini. 


Promo TV Kempen Cuti-Cuti Malaysia tersebut adalah salah satu daripada inisiatif Tourism Malaysia sejajar dengan seruan Yang Berhormat Dato’ Sri Nancy dalam menyemarakkan pelancongan domestik. 5 video promosi yang telah dihasilkan mengetengahkan beberapa tema dan produk pelancongan, termasuklah Pulau dan Pantai, Aktiviti Menyelam dan Dasar Laut, Alam Semulajadi dan Pengembaraan, dan Makanan. Kesemuanya akan disiarkan di RTM menerusi TV1, TV2 dan TV OKEY. 


“Dengan pendekatan ini, Kempen Cuti-Cuti Malaysia di RTM akan dapat membantu memberi pendedahan yang lebih meluas kepada pelbagai produk tempatan demi menyemarakkan semula industri pelancongan negara, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang selamat untuk dikunjungi,” kata Yang Berhormat Dato’ Sri Nancy ketika di majlis pelancaran. 


Selaras dengan pelancaran Promo TV Kempen Cuti-Cuti Malaysia, para pemenang bagi Pertandingan Video Muzik Cuti-Cuti at Home anjuran Tourism Malaysia sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan juga telah diumumkan. 


Pertandingan ini telah dibuka kepada orang ramai menerusi platfom digital pada 18 April 2020 sehingga 9 Jun 2020, dan para peserta telah diberi tiga pilihan kategori dalam menghasilkan klip video pendek, iaitu bermain alat muzik, menyanyi, atau melakonkan sketsa. 


Selain menjadi platform untuk para peserta menyerlahkan bakat dalam pelbagai bidang, pertandingan tersebut juga bertujuan untuk mencetus dan merancakkan pelancongan domestik dengan membuka peluang percutian kepada orang ramai melalui hadiah-hadiah yang ditawarkan. 


Pemenang utama yang telah diumumkan bagi setiap kategori adalah seperti berikut: 


1. Kategori Bermain Alat Muzik  - Encik Ko Chuan Li 


2. Kategori Nyanyian - Encik Mohd Yatim Bin Naming 


3. Kategori Sketsa - Puan Clarissa Premini A/P Robert Jeyakumar 


Hadiah utama bagi para pemenang ialah pakej percutian 3 hari 2 malam di dalam Malaysia untuk 5 orang, termasuklah tiket penerbangan, penginapan, makan dan minum,’transfers’ dan bayaran masuk ke tempat tarikan pelancongan. 


“Adalah menjadi tugas kita semua untuk memastikan Malaysia pulih dari pandemik ini, dengan kita semua berdisplin dalam mengamalkan prosedur operasi standard (SOP), pemakaian pelitup muka, dan penjarakan sosial. Janganlah kita ambil mudah tentang hal ini kerana mencegah lebih baik dari mengubati,” nasihat Yang Berhormat Dato’ Sri Nancy.

-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.