Monday 8 July 2019

Tourism Malaysia Anjur Lawatan Kemas Kini Produk Ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia


PUTRAJAYA, 1 JULAI 2019 – Seramai 18 orang pegawai Tourism Malaysia telah menyertai lawatan kemas kini produk ke negeri Kelantan dan Terengganu bermula hari ini sehingga 6 Julai bagi membantu mempromosikan produk terkini dan sedia ada yang terdapat di kedua-dua negeri tersebut.

Lawatan yang dianjurkan oleh Bahagian Komunikasi Korporat, Tourism Malaysia ini juga bertujuan mengukuhkan hubungan industri antara organisasi dengan para penggiat pelancongan di Pantai Timur.

Daerah-daerah yang akan dilawati di Kelantan ialah Kota Bharu, Pasir Mas, Kubang Kerian, Pasir Puteh dan Bachok, diikuti lawatan sehari ke negeri berjiran iaitu Terengganu.

Selama empat hari di Kelantan, para peserta akan didedahkan kepada pelbagai aktiviti dan pengalaman termasuklah mencuba makanan tradisional Kelantan seperti nasi kerabu, akok dan serunding, melawat galeri Trigona Stingless Bees di Min House Camp, menuai lokan secara tradisional dan berkunjung ke Wakaf Che Yeh.

Selain itu, mereka juga berpeluang untuk menikmati keindahan seni jalanan, menghayati perjuangan rakyat Palestin di Palestine Art Corner, berkunjung ke Pasar Siti Khadijah, galeri wau Pak Sapie, Kelantan Match Factory (kilang mancis tertua di Malaysia), Pintu Gerbang Kota Sultan Ismail Petra, Cik Minah Songket, Muzium Hobi, Galeri Wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan (Wayang Kulit Pak Dain), Masjid Ar-Rahman, melihat perahu tradisional di Pengkalan Anak Gajah, melihat seni ukiran kayu lama di ANR Akademi Nik Rashiddin, dan melawat ladang ternakan kuda di Zahhra Arabian Park.

Menyedari kepentingan untuk menjaga alam sekitar, para peserta bersama 80 sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan Tok Aman Bali Beach Resort, Majlis Daerah Pasir Putih, pelajar-pelajar Kolej Politeknik Mara dan badan-badan bukan kerajaan akan mengadakan program Voluntourism - Pembersihan Pantai di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh pada 5 Julai.


Lawatan kemas kini produk ke Pantai Timur ini akan diakhiri dengan lawatan sehari ke Kuala Terengganu untuk melihat sendiri tarikan pelancongan terbaru iaitu jambatan angkat atau drawbridge di ibu negeri Terengganu itu.
-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.