Sunday 17 February 2019

Rumah kampung calet ‘mat saleh’


Ditemani bunyi unggas dan cengkerik saling bersahutan serta panorama keindahan alam semula jadi terutama pada waktu malam menjadikan percutian di Kuala Tahan, Jerantut, Pahang sesuatu yang sangat istimewa.

Bukan itu sahaja, menikmati percutian penuh damai jauh dari kesibukan kota, asap dan debu kenderaan mahu pun kilang pastinya memberi ketenangan yang sukar ditukar ganti.

Memilih untuk menikmati kehijauan alam dengan melakukan pelbagai aktiviti di Taman Negara atau sekitarnya bersama rakan atau ahli keluarga, pastinya Calet Park Lodge memberi kelainan bagi mereka yang sukakan penginapan cara sederhana.

Lain dari yang lain, Park Lodge menawarkan suasana privasi yang terletak berdekatan lokasi pelancongan Taman Negara menjadikan calet itu digemari pelancong asing kerana mereka ingin merasai sendiri pengalaman hidup dalam suasana kampung.

Menurut pemilik Park Lodge, Abdul Jabar Abdul Rahman, 66, calet tersebut dibina 15 tahun lalu oleh adiknya semasa masih bertugas sebagai renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), sebelum mengambil alih pengurusannya selepas bersara pada 2011.

Abdul Jabar memberitahu, dia hanya menerima pelancong asing menginap di calet berkenaan kerana tertarik dengan cara mereka yang lebih santai dan menghormati budaya tempatan.

“Saya suka cara mat saleh yang lebih sinonim dengan gaya percutian sederhana dan tidak cerewet,’’ ujarnya yang mengusahakan calet berkenaan bersama isteri, Rohana Mohamed.

Tidak seperti calet lain, Park Lodge menyediakan lapan bilik berkonsepkan rumah tradisional kampung iaitu sebuah rumah dua pintu yang dilengkapi kemudahan asas dan sesuai bagi pelancong bajet atau backpakers termasuk perkhidmatan kemudahan Wi-Fi secara percuma.

Menurutnya, Park Lodge menerima permintaan tempahan yang tinggi pada bulan Jun, Julai, Ogos dan September, malah terpaksa menolak beberapa tempahan akibat penuh pada masa tersebut.

“Saya bukan memilih pelanggan tetapi disebabkan budaya orang luar yang sederhana dan tidak cerewet, lebih menghargai perkhidmatan yang ditawarkan di sini. Kami banyak menerima pelancong dari Jerman dan Sepanyol.

“Di sini kami hanya menyediakan sarapan kerana pelancong akan keluar melakukan aktiviti mereka sepanjang hari dan pulang lewat petang atau malam untuk berehat. Lagipun di sini tidak susah mencari makanan,” katanya ketika ditemui di Kuala Tahan baru-baru ini.

Dengan rekaan rumah ala tradisional yang indah pastinya sesiapa sahaja yang menginap di sini berasa seronok dengan layanan mesra Mohammad Jabar dan isterinya. Kedudukan Park Lodge yang hanya 600 meter ke jeti Kuala Tahan untuk ke Taman Negara memudahkan pelancong untuk ke sana.

“Dari jeti tersebut mereka hanya perlu membayar RM1 untuk menaiki bot ke Taman Negara. “Bagi yang tiada kenderaan, kami turut menyediakan perkhidmatan ke jeti,” ujarnya.

Pada harga RM70 untuk dua orang lengkap dengan sarapan pastinya menguntungkan pelancong yang ingin menikmati suasana alam semula jadi sambil berehat santai melupakan seketika masalah pejabat dan suasana sibuk di kota.

Buat masa ini Park Lodge hanya menerima tempahan bilik daripada pelancong asing melalui aplikasi WhatsApp, panggilan telefon, mesej pesanan ringkas (SMS) di talian 019-7731661 atau e-mel parklodge.tnkt@yahoo.com.

Singgah kenali etnik Bateq
Ketika kedatangan penulis, kanak-kanak yang sedang seronok bermain berlari menyorokkan diri.

Walaupun cuba menyembunyikan diri, namun mereka yang mempunyai rambut kerinting masih menarik perhatian kami dengan bergelak ketawa dan bercakap sesama mereka.

Bukannya sombong, tetapi fitrah asal kanak-kanak tersebut ialah pemalu, namun selepas dipanggil beberapa kali mereka mula mendekati tetamu sambil bertepuk tangan.

Bagi yang tidak biasa mengunjungi perkampungan Orang Asli pasti teruja untuk mendekati budaya dan gaya hidup etnik Bateq di perkampungan Dedari di pesisiran sungai Taman Negara Kuala Tahan.

Orang Asli di kawasan tersebut masih menggunakan kaedah kuno seperti rotan dan kayu meranti yang digesel untuk menghasilkan api dalam masa kurang dari satu minit.

Menurut seorang penduduk, Beceh a/l Sungkai, pada masa ini terdapat 40 orang penduduk yang terdiri daripada tujuh keluarga.

“Pekerjaan utama kami adalah mencari kayu dan memburu menggunakan sumpit. “Racun diletakkan di peluru sumpit bagi tujuan membunuh haiwan untuk dijadikan makanan. Sumpit boleh ditembak sejauh kira-kira 45 meter,” katanya.
Untuk ke perkampungan tersebut, pelancong harus menaiki perahu jalur dari jeti Kuala Tahan kira-kira 20 minit sambil menempuh arus dan jeram.

Tambah Beceh, penduduk kerap dikunjungi pelancong sama ada dari dalam dan luar negara.

“Jika mereka ke mari, kami akan menunjukkan demonstrasi menghidupkan api dan bermain sumpit. Mereka juga diberi peluang mencuba cara menghidupkan api. “Kami hanya mengenakan bayaran RM5 untuk seorang,” jelasnya.

Selepas melawat perkampungan itu, pelancong boleh menikmati pengalaman mandi sungai di kawasan berdekatan. “Anda hanya perlu pilih pakej yang bersesuaian dan minta kepada pemandu perahu untuk singgah mandi-manda.


“Pemandu perahu akan menunggu sehingga anda habis beriadah bersama rakan atau ahli keluarga. Harga sewaan perahu bergantung kepada pakej dan jumlah penumpang,” katanya.
-utusan online.

1 comment:

Note: only a member of this blog may post a comment.