Tuesday 19 February 2019

Hujung minggu di kota cahaya digital i-City


ANEKA warna pokok dengan lampu digital unik menyambut kedatangan pengunjung. Walaupun jam sudah menunjukkan pukul 11 malam, kota cahaya digital i-City, Seksyen 7, Shah Alam ini masih meriah dengan kehadiran orang ramai yang rata-ratanya datang dengan keluarga. 

Lokasinya yang terletak kira-kira 25 kilometer dari Kuala Lumpur sesuai untuk mereka yang gemar melakukan aktiviti pada hujung minggu, hanya dengan memandu di sekitar bandar raya.

Menyediakan kemudahan lengkap di samping lokasi strategik, kadar penginapan ditawarkan di sekitar i-City juga berpatutan. Dinasihatkan buat tempahan bilik awal kerana lazimnya penginapan sewa ini sentiasa penuh pada hujung minggu. 

Pengunjung akan menikmati suasana malam di bandar lampu digital di atas tapak seluas 10 hektar merangkumi kawasan membeli-belah bergaya dan dilengkapi taman tema untuk melayani mereka yang mencari tempat bersantai. 

Ia diiktiraf sebagai destinasi pelancongan lightscape pertama di Malaysia dengan mempamerkan teknologi LED terkini.

Keunikan dan kelainan konsep taman cahaya yang ditawarkan menjadikan ia satu daripada taman tema tumpuan pengunjung dari dalam serta luar negara. Anda boleh berehat di taman, melihat arca indah dan merasai pengalaman dunia baharu dengan pameran lampu yang mempesonakan.

Terdapat pelbagai pokok dihiasi lampu LED yang diibaratkan seperti taman fantasi. Ia sesuai untuk seisi keluarga dan anda wajib berswafoto bersama paparan cahaya indah.

Taman i-City juga mempunyai tarikan lain seperti muzium lilin interaktif pertama di Malaysia, muzium seni 3D dan taman tema salji terbesar di negara ini, snowalk yang akan memberi pengalaman musim salji seperti di negara hemisfera utara kepada pengunjung.

Muzium lilin mempamerkan 100 patung lilin pemimpin dunia seperti Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan selebriti terkenal antaranya The Rock, Will Smith, Jacky Chan serta karakter Super Hero seperti Spiderman, Iron Man, Hulk dan lain-lain.

Pada waktu siang, anda boleh ke taman tema air, WaterWorld yang merupakan satu-satunya taman tema air di rantau Asia Tenggara menawarkan permainan air terkenal, Tornado Ride yang dipelopori di Kanada. 

Menariknya, WaterWorld yang boleh menampung kira-kira 5,000 pengunjung pada satu-satu masa itu turut menawarkan jakuzi gergasi dan pantai buatan dan skrin LCD bagi penganjuran konsert atau majlis.

Bagi mereka yang buntu mencari penginapan yang selesa untuk sekeluarga, anda boleh menginap di hotel bertaraf tiga bintang, Best Western i-City.

Untuk rekod, Best Western i-City ini memulakan operasi sejak tahun 2015 dan kadar penghunian atau tetamu yang memilih untuk menginap di hotel ini ialah sebanyak 60 peratus.

Tetamu hanya mengambil masa lima hingga 10 minit sahaja berjalan kaki untuk sampai ke Taman Tema Air. Maka itulah, tempahan bilik di hujung minggu (Sabtu dan Ahad) akan dipenuhi dengan pelancong tempatan atau domestik.
-utusan online.

1 comment:

Note: only a member of this blog may post a comment.