Monday 24 December 2018

Guru bawa pulang RM20,000

Juara pertandingan memancing, Abdul Rahman Yahya, 42 (empat dari kiri) bersama pemenang kedua dan ketiga sempena Pertandingan Memancing Port Dickson Surfcasting Challenge 2018 di Pantai Bagan Pinang, Port Dickson. - Foto Mohd Khidir Zakaria

PORT DICKSON: Seorang guru membawa pulang RM20,000 selepas muncul juara Pertandingan Memancing Port Dickson Surcasting Challenge 2018 di Pantai Bagan Pinang, di sini, hari ini.

Guru dari Rembau itu, Abdul Rahman Yahya, 42, berjaya menaikkan ikan Gerung Belang seberat 3.54 kilogram (kg).


Katanya, ini kemenangan hadiah RM20,000 kali kedua selepas Mei lalu di Pantai Putri, Melaka.


“Mungkin sudah rezeki saya, namun hadiah wang tunai ini akan saya kongsikan bersama sahabat baik saya yang turut sama memancing.

“Saya pun tidak sangka dapat mendaratkan ikan Gerung Belang yang diketahui jarang bermain di pantai.

“Tiada rahsia, cuma saya beralih ke sebelah kanan hujung sekali, lokasi yang tak ramai peserta akhirnya umpan mengena pada jam 12.15 tengah hari,” katanya.

Tempat kedua dimenangi Ismadi Dolit, 25, dari Kuala Sungai Baru, Melaka selepas berjaya menaikkan ikan Todak seberat 1.8 kg dan menggondol RM6,000 dan ketiga, Badeli Shah Ngadimin, 47, dari Muar, Johor selepas menaikkan ikan Daun Baru seberat 1.02 kg.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Mohd Zamri Mohd Esa, berkata seramai 1,058 peserta menyertai pertandingan memancing kali ini.

“Sudah lama Port Dickson tidak menganjurkan pertandingan memancing dan kali ini kita mengadakannya sempena cuti sekolah.

“Kemungkinan ini akan dijadikan acara tahunan dan kita mahu menaikkan kembali nama Port Dickson sebagai ikon kepada kaki pancing dari seluruh negara.

“Mungkin tahun depan, hadiah pun akan ditingkatkan bagi menarik lebih ramai peminat aktiviti memancing ini,” katanya.

Hadir sama, Ketua Pengarah Tourism Malaysia merangkap Pengerusi Koperasi Kakitangan Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Musa Yusof dan Pengurus Program, Md Zali Kasnin.
-BH Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.