Thursday 29 November 2018

Tambak lokasi memancing TMM2020

AMMAR ABD. GHAPAR (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah
Cabaran Memancing Terbuka Johor di Pontian, Johor, baru-baru ini.

PONTIAN 28 Nov. - Pesisiran pantai di Pusat Perdagangan Pontian atau sinonim dengan panggilan ‘Tambak’ akan menjadi salah satu lokasi pertandingan memancing sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Pengarah Bahagian Domestik dan Acara merangkap Ketua Seketeriat Kempen TMM2020, Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar berkata, aktiviti memancing mempunyai ramai peminat apatah lagi perairan negara ini kaya dengan pelbagai jenis ikan.

Menurutnya, pertan­dingan memancing mampu menarik ribuan peserta dari seluruh negara dan berjaya membantu sektor pelancongan domestik seperti penginapan bukan sahaja hotel dan resort, malah homestay atau inap desa turut menerima tempias ekonomi daripada orang ramai.

“Perairan Tambak ini juga tidak kurang hebatnya apabila pemancing berjaya menaikkan ikan pari seberat 6.5 kilogram (kg),” katanya selepas menyampaikan hadiah Cabaran Memancing Terbuka Johor 2016, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Pengarah Tourism Johor, Abdul Malik Ismail; Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan, Solehuddin Ahmad dan Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian, Nor Syazlan Abd. Razak.

Kira-kira 1,200 pemancing dari dalam dan luar negeri ini termasuk dari Kelantan menyer­tai pertandingan tersebut bagi merebut hadiah keseluruhan berjumlah RM80,000. 

Ammar berkata, turut mendapat manfaat ialah sektor per­khidmatan lain seperti peniaga makanan.

“Sektor perkhidmatan yang lain seperti stesen minyak, jualan buah tangan dan tidak ke­tinggalan mereka yang menjual umpan turut menerima tempiasnya,” katanya.

Beliau berharap sektor pelancongan di daerah Pontian akan terus maju dengan adanya pelbagai produk yang ditawarkan selain pertandingan memancing yang dianjurkan pada setiap tahun.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.