Monday 17 September 2018

Percutian kampung di Keriang Hill

photo: Keriang Hill facebook

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Tanpa memiliki laut dan pantai yang putih serta halus pasirnya, Keriang Hill yang terletak di kaki Gunung Keriang, Mukim Gunung, Alor Setar, Kedah merupakan destinasi pelancongan yang dicadangkan kepada pelancong dalam dan luar negara.

Keriang Hill yang menawarkan suasana aman, tenang dan damai dalam aura hidup di kampung boleh terus dibangunkan dan sekali gus mewujudkan sebuah ‘Wilayah Pelancongan’ bagi negeri Kedah.

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Alor Setar dengan berkereta tidaklah jauh mana pun. Pemanduan hanya mengambil masa lima jam sahaja dan jika itu dirasakan panjang masanya, perasaan penat dalam perjalanan akan hilang sebaik sahaja tiba di Keriang Hill.

Untuk rekod, Keriang Hill yang dibangunkan di atas sebidang tanah seluas 15 hektar adalah destinasi percutian berkonsepkan perkampungan.

Di sini, terdapat 17 rumah kayu yang didirikan dalam suasana kampung dan 
rumah-rumah ini digelar sebagai pondok manakala setiap pondok dinamakan mengikut mukim-mukim yang terdapat di negeri Kedah.

Pemilihan nama bagi setiap pondok di Keriang Hill ini mendapat pekenan Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah selepas Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) bersetuju menyerahkan pengurusan Keriang Hill kepada Keriang Hill Resort Sdn. Bhd.

Dibangun dan diuruskan oleh Keriang Hill Resort Sdn. Bhd., Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Ahmad Muazzam Wan Ismail berkata, Keriang Hill yang bertaraf tiga bintang perlu mengikis stigma dalam kalangan pelancong tempatan yang takut untuk menginap di situ kerana mereka beranggapan, harga yang perlu dibayar adalah setaraf dengan harga bilik di resort bertaraf lima bintang.

“Di sini sesiapa sahaja boleh datang dan menginap di rumah-rumah atau digelar pondok kerana harga yang perlu dibayar amatlah berpatutan dan dalam kemampuan kita.

“Apatah lagi bermula Oktober sehingga Disember ini, kita menawarkan potongan harga iaitu bagi pondok single, hanya RM120 satu malam manakala bagi pondok famili atau keluarga, hanya perlu membayar RM180 satu malam.

“Harga yang kita tawarkan ini jauh lebih murah berbanding dengan harga penginapan di negeri-negeri lain,” katanya kepada Utusan Online ketika ditemui di Keriang Hill, Jitra, baru-baru ini.

Terdapat enam pondok single dan lapan pondok famili di Keriang Hill, ujar Wan Ahmad Muazzam. Manakala terdapat dua lagi pondok yang dikhaskan untuk menyimpan replika dan dijadikan muzium mini yang menyimpan sebahagian kecil khazanah milik almarhum Sultan Kedah, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Sultan Badlishah.

Pondok ini boleh dilawati oleh tetamu yang menginap di Keriang Hill dan orang ramai yang ingin melihat khazanah yang disimpan di situ, boleh berbuat demikian tetapi dengan syarat, mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada pihak pengurusan Keriang Hill.

Menurut Wan Ahmad Muzzam lagi, untuk menggamit pelancong tempatan, pihaknya sedang berusaha untuk menggunakan segenap ruang dan pelosok di Keriang Hill ini dengan mewujudkan aktiviti yang menarik.

“Terletak bersebelahan dengan Restoran Puteri, kita ada tasik yang penuh dengan ikan. Pengunjung boleh memberi makan ikan-ikan ini kerana saya secara peribadi merasakan, memberi ikan-ikan makan adalah satu terapi.

“Restoran Puteri bukan tertutup untuk tetamu yang menginap di Keriang Hill tetapi kita buka kepada orang ramai yang ingin menikmati makanan yang insya-Allah, enak dan lazat.

“Selain daripada itu, di tasik ini juga terdapat sepasang angsa berwarna hitam. Mungkin pada hari ini, jarang dapat dilihat angsa berwarna hitam,” katanya sambil menambah, di dalam kawasan Keriang Hill juga terdapat sepasang burung merak berwarna putih yang dibela di dalam kandang.

Tarikan baharu yang akan diperkenalkan kepada pengunjung yang menginap di Keriang Hill, kata Wan Ahmad Muazzam ialah aktiviti berkayak.
“Ini idea baharu yang dilontarkan kepada saya dan kami sedang rancak membersihkan tali air yang terletak bertentangan dengan Keriang Hill. Kiranya seberang jalan sahaja.

“Tali air sepanjang 195 meter itu akan digunakan untuk aktiviti berkayak dan setakat ini, pihak kami telah pun menyediakan tiga buah kayak penghuni yang menginap di Keriang Hill,” katanya sambil menekankan, pihak pengurusan tidak berkompromi dari aspek keselamatan pengkayak yang mana turut disediakan jaket keselamatan yang wajib dipakai oleh penginap Keriang Hill yang memilih untuk mencuba aktiviti berkayak.

Sejajar dengan pelaburan yang dikeluarkan oleh syarikat iaitu sebanyak RM4 juta, Wan Ahmad Muazzam berkata, terdapat 15 ekar lagi tanah yang masih belum dibangunkan di sekitar Keriang Hill.

“Itu kita simpan dahulu kerana sekarang, pihak pengurusan sedang berkira-kira untuk membina pondok di atas sawah. Konsep pondok di atas sawah ini akan mengambil sedikit masa.


“Lagipun mengambil kira pengalaman yang lalu, projek membangunkan Keriang Hill ini pernah terbengkalai dan syarikat membuat keputusan untuk mengambil alih projek pembangunan hartanah pada Mei tahun lepas. Oleh itu, segalanya perlu dirancang dengan teliti,” jelas Wan Ahmad Muazzam.

Kata Wan Ahmad Muazzam lagi, Keriang Hill adalah destinasi percutian bertemakan “Kembali kepada Kehidupan Kampung” yang hari ini, tidak lagi dapat dirasai dan dinikmati oleh generasi muda disebabkan oleh arus pemodenan yang tidak terkawal.

Dalam erti kata lain, generasi muda hari ini, rata-ratanya hanya kenal kepada kehidupan hutan batu.
“Kenyataan saya di atas ada kebenarannya dan berasas. Maka itulah, Keriang Hill yang terletak di kaki Gunung Keriang ini adalah bukit batu kapur yang boleh dilihat di depan mata.

“Di Keriang Hill ini juga kakitangan kita terdiri daripada penduduk kampung. Kita ambil makcik-makcik kampung untuk mengemas pondok, yang menjadi tukang kebun dan mandur pula adalah pakcik, anak tempatan.
“Apabila dibangunkan Keriang Hill, dicipta peluang pekerjaan dan ditawarkan peluang-peluang pekerjaan itu kepada penduduk setempat.
“Pemuda dan pemudi kampung tidak perlu berpindah ke bandar-bandar besar untuk bekerja. Kita cipta peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat kerana itulah hasrat yang dinyatakan oleh pemilik Keriang Hill, Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz untuk rakyat negeri Kedah,” katanya.

Menurut Wan Ahmad Muazzam lagi, jangan terkejut sekiranya tetamu yang menginap di Keriang Hill, boleh mendapatkan khidmat tukang urut Melayu dan tradisional untuk membetulkan segala urat yang tersimpul dan berselirat di dalam badan.

“Insya-Allah. Jika diizinkan Tuhan, banyak perancangan yang akan dilakukan untuk Keriang Hill. Itulah sebabnya, saya pentingkan aspek hospitaliti yang bertaraf lima bintang.


“Tidak perlu fikir panjang ataupun teragak-agak untuk menginap di Keriang Hill kerana inilah destinasi pelancongan untuk semua penat bekerja, ingin berehat dan melarikan diri daripada kehidupan di bandar-bandar besar yang hiruk-pikuk,” katanya. 
-utusan online.
http://kerianghill.com.my

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.