Thursday 27 September 2018

Pelancongan perlu beralih kepada digital

Mohammadin Ketapi. Image: MOTAC

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Industri pelancongan berjaya menjana pendapatan negara sehingga RM82.2 bilion pada tahun lalu dengan kehadiran seramai 25.9 juta pelancong ke negara ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Mohammadin Ketapi berkata, ini menjadikan industri ini merupakan antara penyumbang utama, iaitu 14.9 peratus kepada pendapatan negara.

“Di peringkat dunia, sebanyak 1.32 bilion pengembara telah menyeberangi pelbagai sempadan negara untuk melancong dan mengembara, yang membawa pulangan sehingga RM5.54 trilion.

“Di jangka pada 2030 jumlah ini akan meningkat sehingga 1.8 bilion pengembara dan Malaysia antara yang menjadi tumpuan kehadiran para pengembara ini, “ katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2018 yang bertemakan “Pelancongan Dan Era Transformasi Digital” di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang di sini hari ini.

Mohammadin berkata, industri ini antara yang menerima ledakan yang hebat akibat penggunaan dan perkembangan digital kerana para pelancong akan guna segala kemudahan dan perkhidmatan pelancongan melalui platform digital dan integrasi dari media sosial.


“Jadi saya berharap semua pengusaha dan pemain dalam industri ini segeralah beralih kepada era digital, tinggalkan kaedah lama untuk menarik kehadiran para pelancong,” katanya.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.