Tuesday 11 September 2018

CPN sasar 12 juta orang mengunjungi Central i-City

PEMBINAAN pusat beli-belah Central i-City setakat ini telah mencapai 75 peratus siap
dan dijangka dibuka kepada orang ramai pada Januari 2019.

KUALA LUMPUR 10 Sept. – Syarikat pemaju peruncitan terbesar Thailand, CPN menyasarkan keha­diran 12 juta pengunjung setahun ke pusat beli-belah Central i-City yang menawarkan pelbagai tarikan baharu terutama kepada penduduk di sekitar Klang dan Shah Alam, Selangor.

Ketua Pegawai Operasi CPN Malaysia, Anthony Dylan Anak Frankie Jurem berkata, Centra i-City merupakan projek usahasama antara CPN dan I-City Properties Sdn. Bhd. dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM850 juta.

940,000 kaki persegi dengan 350 lot kedai itu dijangka dibuka kepada orang ramai pada Januari 2019.

“Pembinaan telah dimulakan pada Januari 2016 dan kerja-kerja struktur telah disiapkan pada Februari lalu. Setakat ini Central i-City telah 75 peratus siap dengan kadar ambilan mencecah 70 peratus.

“Pecahan kedai-kedai yang terdapat di pusat beli-belah ini adalah makanan dan minuman sebanyak 25 peratus, fesyen (20 peratus), hiburan (enam peratus), pasar raya (empat peratus), gedung jualan (20 peratus) dan lain-lain perniagaan (25 peratus). Jangkaan ini berdasarkan perancangan awal dan akan berubah bergantung kepada keadaan pasaran serta trend pengguna,” kata­nya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambah Anthony Dylan, Central i-City menempatkan beberapa penyewa utama seperti Sogo, Village Grocer dan TGV Cinema yang mana ia bakal menjadi tarikan utama kepada pengunjung di samping rekaan dalaman dan konsep membeli-belah ala Thailand.

Katanya, gedung beli-belah Sogo dan Village Grocer di Central i-City akan menjadi yang terbesar di Malaysia sementara TGV Cinema menyediakan lapan pawagam dan satu dewan IMAX bersama teknologi audio visual terbaharu.

Sementara itu, Anthony Dylan berkata, lokasi Central i-City yang strategik turut membantu memacu kehadiran pengunjung.

Jelasnya, jaringan jalan raya yang baik serta berdekatan de­ngan lebuhraya utama memberikan akses secara terus kepada para pengunjung di samping jalan keluar masuk ke Central i-City yang sistematik menyumbang kepada aliran trafik yang lancar.


“Kami mahu menjadi sebuah pusat beli-belah pilihan oleh semua segmen sasaran dengan menawarkan kualiti, kemu­dahan serta pengalaman menarik kepada semua pengunjung. Oleh itu, semua faktor sama ada luaran atau dalaman akan membantu kami mencapai matlamat berke­naan,” katanya.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.