Saturday 11 August 2018

Keunikan Pulau Tinggi

KEINDAHAN pemandangan pantai di Pulau Tinggi.

MERSING 9 Ogos - Pulau Tinggi merupakan satu lagi ‘permata alam’ dari­pada gugusan kepulauan yang kaya dengan alam semulajadi dan tidak dapat diungkap dengan kata-kata selain menarik kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara.

Keindahan yang terdapat di Pulau Tinggi tidak terucap dan tidak hairanlan kedatangan pelancong dari luar negara pa­ling ramai suka berkunjung ke sini kerana menikmati panorama suasana kedamaian jauh dari kesibu­kan kota.

Bagi anda yang inginkan percutian menyeronokkan untuk keluarga dan kenalan, mengapa tidak memilih Pulau Tinggi sebagai destinasi yang menjanjikan pengalaman baharu, mendamaikan dan memuaskan hati.

Pulau Tinggi merupakan satu daripada enam kumpulan gugusan pulau di bawah Taman Laut Sultan Iskandar (TLSI) di daerah ini selain Pulau Rawa, Pulau Aur, Pulau Sibu, Pulau Pemanggil dan Pulau Besar yang kaya dengan khazanah flora serta faunanya.

Pulau-pulau ini mendapat jolokan 'permata laut Johor' kera­na banyak kemudahan dan keunikannya. Begitu juga menjadi pilihan pelancong dalam dan luar negara untuk bercuti.

Pulau Tinggi yang mengambil masa kira-kira satu jam menaiki bot dari Terminal Feri Tanjung Leman pastinya akan menggamit mata yang memandang ekoran deruan angin dan hempasan ombaknya mengharungi Laut China Selatan.

Malah, dunia alam marinnya kaya dengan pelbagai spesies hidupan laut dengan kejernihan air laut sudah tentu menjadikan percutian ke destinasi kepulauan ini tidak pernah mengecewakan.

Uniknya kepulauan ini kerana keistimewanya iaitu terdapat gua, lapan pulau kecil berdekatan dan gunung. Airnya sangat jernih, firus di kelilingnya dan boleh melihat pelbagai spesis ikan dan batu karang dengan pasirnya putih bak mutiara.

Terdapat beberapa jeti di Pulau Tinggi yang cukup terkenal antaranya Jeti Maksu, Jeti Pak Bakar dan Jeti Tok Mok yang setiap satunya mempunyai keistimewaan tersendiri dan berbeza satu sama lain.

Ketiga-tiga jeti itu menawarkan tempat penginapan selain pelbagai aktiviti menarik dan mencabar untuk diterokai para pengunjung.

Sebagai contoh di Jeti Maksu, terdapat air terjun yang cantik dengan keindahan 
alam semula jadi yang asli termasuk pantai, batu karang dan keindahan hutan.

Di samping itu, pengunjung boleh memancing, snorkeling, merentas hutan, mandi di air terjun manakala pada waktu malam boleh melihat penyu bertelur sambil menikmati hidangan barbeku di tepi pantai.

Selain itu, pelancong boleh dibawa untuk aktiviti snorkeling di Pulau Lima, Pulau Mentigi dan Pulau Kukus yang terletak berhampiran serta kaya pelbagai spe­sies hidupan marin.

Di jeti lain pula boleh melakukan aktiviti yang sama selain berkayak, memancing dan terdapat kawasan pantai peribadi serta aktiviti pengunjung akan ditemani pemandu pelancong.

Ketiga-tiga jeti berkenaan mempunyai semua kemudahan antaranya tempat penginapan seperti resort dah chalet yng dikelilingi kehijauan tropik mengikut pakej bersesuaian.

Terdapat bilik dengan beranda peribadi, dilengkapi alat penya­man udara, televisyen, cerek elek­trik. peti sejuk kecil, kemudahan pancuran mandian peribadi dan bidet tangan.


Pengunjung juga tidak akan terputus hubungan dengan dunia luar kerana terdapat kemudahan internet di pulau berkenaan.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.