Sunday 26 August 2018

Floria Diraja rangsang ekonomi

SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH bersama Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melawat pameran selepas merasmikan Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya (Floria Diraja Putrajaya) 2018 di Putrajaya, semalam. Turut mengiringi Wan Azizah Wan Ismail dan Khalid Abdul Samad (tiga dari kanan). – BERNAMA

PUTRAJAYA 25 Ogos - Floria Diraja Putrajaya 2018 yang bermula hari ini hingga 2 September depan akan terus memainkan peranannya dalam merangsang ekonomi dan menjana peluang perniagaan bagi pengusaha perladangan bunga serta hortikultur tempatan.

Penganjuran festival yang di­rasmikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah itu juga mencerminkan komitmen kerajaan dalam meletakkan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan sebagai salah satu destinasi dalam peta festival bunga-bu­ngaan sedunia.

Bertemakan 10 Kegemilangan Floria, festival yang berlangsung di Anjung Floria, di sini itu selaras dengan hasrat kerajaan dalam menjadikannya setara dengan Festival Tulip Belanda yang diadakan di Keukenhof, Belanda setiap tahun.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, penganjuran Floria Diraja bukan sahaja sebagai produk pelancongan bagi Putrajaya dan Malaysia tetapi juga menjadi satu penanda aras bagi industri landskap serta hortikultur negara.

Beliau berkata, kerajaan me­ngalu-alukan penganjuran acara seumpama itu yang dilihat dapat memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengira usia dan memberi peluang kepada semua untuk menikmati keindahan tanah air.

“Saya berharap Floria Diraja Putrajaya akan dijadikan acara tahunan lebih-lebih lagi dengan jalinan kerjasama badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan seperti mana yang dilaksanakan pada kali ini untuk memberi nilai tambah kepada acara ini,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian festival berkenaan.

Turut berangkat mengiringi Sultan Selangor ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin. Hadir sama Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad.

Floria Diraja Putrajaya 2018 mengetengahkan beberapa komponen baharu yang dapat menarik pengunjung antaranya, Wonder Garden iaitu taman-taman yang dipamerkan khas untuk memperingati setiap penganjuran Floria sejak 2007.
Selain itu, Miniature Garden pula membawa elemen unik perkampungan mini lengkap selain The Wonder of Bonsai and Suiseki yang mempamerkan gubahan pokok bonsai.

Turut menjadi perhatian adalah Taman Diraja Perak yang memberi peluang kepada pe­ngunjung menyaksikan sendiri replika Istana Kenangan Kuala Kangsar dan arca Labu Sayung di tengah kolam yang dikelilingi bunga warna-warni diinspirasikan daripada taman diraja, selain replika Menara Jam Kuala Kangsar.

Floria Diraja Putrajaya 2018 dibuka kepada orang ramai dari pukul 9 pagi hingga 10.30 malam (Isnin hingga Khamis) dan 9 pagi hingga 12 tengah malam (Jumaat hingga Ahad).

Tiket dewasa bagi warganegara Malaysia (Isnin-Khamis) ialah RM12 dan (Jumaat hingga Ahad) ialah RM15.

Bagi kanak-kanak, orang ku­rang upaya dan warga emas (warga Malaysia) tiket berharga RM6 (Isnin-Khamis) dan (Jumaat-Ahad) RM8. Diskaun 20 peratus pula ditawarkan untuk pembe­lian secara dalam talian.


Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari laman web www.floriaputrajaya.com.my.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.