Thursday 26 July 2018

Media Challenge 2.0 dalami sejarah Kesultanan Melayu Melaka

Peserta yang menyertai program Media Challenge 2.0 ketika
mengunjungi Muzium Kesultanan Melaka.-UTUSAN ONLINE

BANDAR HILIR 24 Julai - Program Media Challenge 2.0 yang disertai seramai 24 peserta daripada pelbagai agensi media diteruskan hari kedua dengan mengunjungi sebuah muzium terkemuka iaitu Muzium Kesultanan Melaka.

Ketibaan peserta sambut meriah dengan persembahan silat daripada Persatuan Cahaya D'elima, Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).

Terdapat pelbagai barangan bersejarah dipamerkan di muzium berkenaan antaranya koleksi senjata lama pahlawan Melayu seperti keris dan meriam, koleksi pakaian tradisional dan replika seni bina istana lama Negeri-negeri Melayu.

Setiap barangan pameran itu dilampirkan dengan maklumat berkaitan sejarah pembinaannya untuk pengetahuan pengunjung tempatan dan luar negara.

Muzium yang panjang itu juga bukan sahaja menempatkan sejarah tentang negeri Melaka tetapi sejarah kebudayaan Melayu dari negeri lain dan yang paling menarik ialah apabila dapat melihat pelbagai potret lukisan dan diorama.

Replika Istana Kesultanan Melayu Melaka yang terletak di kaki Bukit St. Paul itu dibina semula berdasarkan catatan Sejarah Melayu yang menggambarkan keunikan seni bina Istana Melayu di zaman Sultan Mansur Shah yang memerintah dari 1456 hingga 1477.

Bangunan bersejarah itu menempuh fasa pembinaan selama dua tahun sebelum siap pada 1986 dengan seni binanya menggunakan hampir 80 peratus kayu di mana kayu cengal digunakan untuk tiang dan alang, kayu resak untuk lantai dan dinding serta kayu berlian untuk atap.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia, Abdul Rauf Abu Hassan berkata, kunjungan itu bertujuan memberikan pendedahan kepada peserta untuk mendalami sejarah kesultanan Melayu Melaka melalui aktiviti yang berkonsepkan keilmuan.

"Pada program ini, peserta juga berpeluang mengambil bahagian dalam permainan tradisional seperti congkak, capteh dan melempar tin," katanya kepada Utusan Online.

Program bersempena Hari Muzium Antarabangsa berlangsung selama tiga hari bermula semalam dengan menjelajah dua negeri iaitu Negeri Sembilan dan Melaka mengunjungi enam muzium iaitu Muzium Adat, Teratak Pepatih, Muzium Lukut, Muzium Kesultanan Melayu Melaka, Muzium Seni Bina Malaysia dan Encore Melaka.


Program tahunan itu merupakan anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dan Perzim.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.