Sunday 22 July 2018

Kelip-kelip Kampung Sungai Timun tarikan pelancongan

AMINUDDIN HARUN (tiga dari kanan) dan Mohd. Aminuddin Mohd. Amin (dua kiri)
meninjau keadaan sungai semasa Majlis Mesra Aidilfitri TNB 2018
di Kampung Sungai Timun, Rembau hari ini. - UTUSAN ONLINE/ASWAD YAHYA

REMBAU 13 Julai - Lebih 100 penduduk Kampung Sungai Timun dekat di sini diraikan dalam Majlis Mesra Aidilfitri anjuran syarikat utiliti kebangsaan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) di pekarangan jeti nelayan Pusat Pelancongan Kelip-Kelip kampung tersebut.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Menteri Besar, Aminuddin Harun; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr. Razali Ab. Malik dan Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Ir. Mohd. Aminuddin Mohd. Amin.

Menurut Mohd. Aminuddin, majlis itu diadakan sempena penglibatan TNB sejak tahun lalu dalam projek memulihara serangga kelip-kelip sebagai anugerah alam yang unik di kawasan itu.

Katanya, projek itu adalah salah satu inisiatif di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat utiliti itu di seluruh negara di bawah kategori pemuliharaan alam sekitar.

"TNB melalui anak syarikatnya, TNB Research Sdn. Bhd. telah memberikan komitmen untuk menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) di sepanjang Sungai Linggi di sini bagi memastikan kelip-kelip akan terus berkembang biak secara berterusan bagi tatapan generasi akan datang," katanya dalam ucapan pada majlis tersebut.

Sementara itu, Aminuddin menyambut baik dan mengalu-alukan usaha TNB itu dalam memulihkan anugerah alam yang tidak ternilai itu.


"Saya percaya hasil penyelidikan ini dapat didokumentasikan sebagai sumber ilmu pengetahuan selain berusaha menjadikan kelip-kelip sebagai satu tarikan hebat kepada sektor pelancongan di negeri ini," katanya.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.