Tuesday 31 July 2018

DISINILAND, Taman Dekati Haiwan Liar


Taman haiwan berkonsepkan zoo mini, Disiniland Agrofarm & Resort di Batu Kurau dekat Selama, Perak cukup unik untuk dikunjungi, lebih-lebih lagi bagi mereka yang menyukai suasana hijau yang nyaman dan tenteram.

Keunikannya bukan sahaja terletak kepada namanya yang seakan-akan ‘Disneyland’ tetapi pengalaman yang bakal dinikmati pengunjung sebaik sahaja melangkah masuk ke kawasan seluas 2.4 hektar itu.

Meskipun bukanlah seperti sebuah zoo yang dipenuhi pelbagai spesies haiwan, tetapi Disiniland memberi pelbagai kelainan yang mampu menggamit pengunjung untuk datang lagi ke kawasan yang dikelilingi kehijauan itu.

Selain berpeluang dapat bermesra dan menyentuh binatang yang dipelihara di situ seperti rusa, kuda, unta dan arnab secara dekat, pengunjung juga boleh beriadah bersama keluarga.

Pemilik taman haiwan tersebut, Datuk Khairil Anuar Akhiruddin @ Tokyee berkata, taman haiwan itu pada mulanya dibina hanya sekadar untuk melayan hobi dan haiwan peliharaan keluarganya sahaja.

Bagaimanapun, Khairil Anuar berkata, idea membangunkan taman itu kemudiannya tercetus apabila keluarganya melihat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat.

“Kami sekeluarga memang tidak pernah merancang untuk buka Disiniland. Asalnya taman tema ini hanya untuk tempat percutian peribadi keluarga kerana kami suka suasana kampung.

“Namun lama-kelamaan keluarga saya mencadangkan untuk membuka taman tema ini kepada orang ramai kerana sambutan yang menggalakkan diterima daripada masyarakat setempat. Ramai yang suka datang melihat haiwan-haiwan di sini,” katanya.

Ketika ditanya mengapa memilih nama Disiniland, Khairil Anuar menjelaskan ia bertepatan dengan konsep yang ingin diketengahkan seperti Disneyland tetapi lebih kepada zoo mini.

Khairil Anuar memberitahu, setakat hari ini sebanyak 20 spesies haiwan antaranya kuda, unta, burung, rusa, arnab dan burung unta dipelihara di taman haiwan tersebut.

Tambah beliau, bagi spesies burung sahaja, pihaknya mempunyai 15 jenis spesies dan di Disiniland, pengunjung turut didedahkan dengan kehidupan haiwan secara dekat, selain berpeluang menyentuh dan bergambar dengan haiwan terlibat.

“Selain itu, di sini juga terdapat bermacam-macam aktiviti lain iaitu menunggang kuda, memanah, All-Terrain Vehicle (ATV),memanah berkuda, memancing ikan dan melihat secara dekat haiwan seperti unta, rusa, burung unta dan lembu,” katanya.

Kata Khairil Anuar, binatang peliharaan di situ cukup manja dan mesra dengan orang ramai dan ini secara tidak langsung memudahkan pengunjung untuk menyentuh badan haiwan tersebut dan memberinya makan.

Tambahnya, Disiniland dibuka dari pukul 10 pagi hingga 6.30 petang pada hari biasa.

Manakala pada cuti umum atau hujung minggu pula, taman tersebut dibuka pada pukul 9.30 pagi hingga 5.30 petang.

Harga tiket masuk ke Disiniland bagi pengunjung berumur 13 hingga 59 tahun (RM4), manakala kanak-kanak berusia tiga hingga 12 tahun (RM2).

Selain itu, pihaknya turut mengenakan bayaran yang berpatutan bagi aktiviti menunggang kuda dan memancing ikan.

“Resort ini juga menyediakan inap desa yang memberi pengalaman serta suasana kampung kepada pengunjung berminat.

“Bagaimanapun ketika ini Disiniland ditutup untuk kunjungan orang ramai bagi kerja-kerja penyelenggaraan serta pengubahsuaian dan saya jangka, kerja-kerja ini akan selesai pada akhir tahun ini. Kita akan buka semula selepas ini,” katanya.


Sebarang maklumat lanjut mengenai Disiniland boleh didapati daripada laman sesawang di www.disiniland.com atau menghubungi talian 012-2481545.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.