Thursday 28 June 2018

Lokasi pelancongan terbaharu

PERKAMPUNGAN Hang Tuah di Duyong, Melaka bakal dibangunkan bagi manfaat negeri
dan masyarakat setempat.– UTUSAN /MOHD. AZIM ABD RAHMAN

MELAKA 25 Jun - Perkampungan Hang Tuah di sini wajar untuk dibangunkan kerajaan negeri ke­rana boleh memberi manfaat kepada masyarakat dan negeri ini dari sudut pelancongan, ekonomi mahupun rekreasi.

Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Duyong, Damian Yeo Shen Li berkata, langkah itu pen­ti­ng untuk dilakukan kerajaan ne­geri kerana lokasi tersebut merupakan kawasan warisan.

Sehubungan itu, katanya cadangan membangunkan Perkampungan Hang Tuah itu akan di-sampaikan kepada Exco kerajaan negeri berkenaan selain Ketua Menteri, Adly Zahari dalam masa terdekat.

“Mereka (Exco dan Ketua Menteri) sudah tahu apa yang saya nak buat, sebab perkara ini ada disebut dalam ceramah-ceramah saya sebelum ini.

“Mereka pun tahu, tempat ini merupakan satu-satunya kawasan yang ‘bernyawa’ dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Program Kacau Dodol Duyong di Rumah Tradisional Perkampungan Hang Tuah di sini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Persatuan Jaringan Adat Budaya Anak Tempatan (JABAT), Datuk Seri Don Hussin.

Tambahnya, semenangnya ada ada kawasan-kawasan pelancongan yang menarik di negeri ini se­perti di Jonker Street, Melaka Raya dan Dataran Pahlawan.

“Bagaimanapun semua (kawa­san berkenaan) lebih menampilkan ciri-ciri moden.
“Itulah sebabnya Perkampungan Hang Tuah ini perlu dibangunkan menjadi sebagai lokasi pelancongan di negeri ini,” kata­nya.

Sementara itu, Shen Li memberitahu, kawasan perkampungan itu bukan sahaja boleh dibangunkan sebagai pusat pelancongan, tetapi pada masa sama turut mampu menjadi tempat rekreasi untuk masyarakat negeri ini.

Menurutnya lagi, sekiranya Per­kampungan Hang Tuah dibangunkan secara terurus, masyarakat setempat boleh mendapat manfaat dari segi ekonomi sekiranya berjaya dinaikkan sebagai pusat pelancongan.

“Sekiranya dipasang lampu, kesemuanya akan menjadi cantik dan satu trek seperti di Stadium Tun Fatimah boleh dibangunkan.


“Sebaliknya jika dibiarkan sahaja, tidak mustahil kawasan ini akan di­salah gunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab terma-suk dijadikan sarang penagihan dadah,” katanya.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.