Monday 5 February 2018

TMT 2018: Sasar 5.5 juta pelancong


KUALA TERENGGANU 4 Feb. - Produk ikonik, bas dua alam Amphicoach dan jambatan angkat (drawbridge) di Pusat Bandar Raya Kuala Terengganu (KTTC) di sini akan menjadi kekuatan kepada Terengganu untuk terus menarik lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2018.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, sebagai kemudahan yang pertama seumpamanya di rantau ini, kerajaan negeri yakin produk berkenaan dapat membantu memacu kepesatan industri pelancongan sekali gus mencapai sasaran kehadiran 5.5 juta pelancong dari dalam dan luar negara yang ditetapkan.

Beliau berkata, jambatan angkat sepanjang 632 meter dengan 50 meter span navigasi mendatar tanpa halangan bagi draw span serta 12 meter ketinggian navigasi menegak tanpa halangan apabila jambatan tertutup itu dijadualkan siap pada September depan.

“Di samping itu, tahun ini juga kita akan buka zon bebas cukai berkonsepkan Factory Outlet di Pulau Bayas, Tasik Kenyir dan terminal bot utama di Pulau Gawi.

“Kerajaan negeri lebih agresif dan saya gembira kera­na Tourism Malaysia telah memilih Terengganu sebagai salah satu negeri untuk bersama-sama dalam aktiviti promosi yang dijalankan. Jika tahun lalu, kita mencatatkan 5 juta pelancongan dalam TMT 2017, maka jumlah tersebut di­tingkatkan kepada 5.5 juta dalam penganjuran kali ini,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan acara larian Kuala Terengganu (KT) City Fun Run 2018 di Pulau Warisan, di sini kelmarin.

Seramai kira-kira 4,000 peserta dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa terlibat dalam larian sejauh empat kilometer yang julung kali diadakan bagi mengumpul dana amal untuk membiayai aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah-sekolah terpilih di daerah ini.

Program ini dianjurkan bersama oleh Gerakan Belia 4B Malaysia Kuala Terengganu, Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kuala Terengganu, Young Malaysians Movement (YMM) Terengganu, Komuniti 1Malaysia Kampung Cina, Agensi Transformasi Rakyat Terengganu (Atra) Dewan Undangan Negeri Bandar dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Sementara itu, Ahmad Razif memberitahu, penganjuran larian berkenaan bukan sahaja menjadi medan buat ahli keluarga untuk beriadah bahkan, menge­ratkan hubungan dengan rakan taulan.

-utusan online.
http://beautifulterengganu.com/

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.