Sunday 11 February 2018

Melawat Pahang ibarat berkunjung seluruh Malaysia

PEMANGKU Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (kiri) menerima cenderamata berupa gambar baginda bertemakan pelancongan Pahang daripada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob (tiga, kiri) selepas menyempurnakan Majlis Appreciation Night Visit Pahang Malaysia 2017, malam ini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin (dua, kiri). - Foto BERNAMA

KUANTAN: Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berpandangan logo Visit Pahang Malaysia 2017 ditambah baik dengan memasukkan elemen 'Truly Malaysia' pada kempen akan datang sebagai satu signifikan melawat Pahang sama seperti berkunjung ke seluruh Malaysia.

Baginda bertitah, terdapat banyak tarikan di Pahang untuk dikunjungi seperti hutan, gunung, pulau dan pantai sambil menganggap berkunjung negeri ini ibarat melawat Malaysia.

"Sudah tentu saya mahukan mereka tonjolkan Pahang kerana macam-macam ada, hutan, gunung, pulau dan pantai, melawat Pahang ibarat melawat Malaysia," titahnya pada Malam Penghargaan Visit Pahang 2017, di sini, malam tadi.

Tengku Abdullah juga meminta penggiat industri pelancongan di negeri ini supaya tidak mengabaikan aspek alam sekitar demi kebaikan dan kelangsungan masa depan.

Titahnya, tiada kompromi untuk mana-mana pihak mengabaikan aspek alam sekitar, termasuk menggunakan alasan membangunkan industri pelancongan di kawasan masing-masing.

"Dalam kita membangunkan (industri) pelancongan tidak boleh kompromi soal alam sekitar, kena jaga flora fauna seperti di kawasan Bukit Fraser, Cameron Highlands, Bukit Tinggi dan Taman Negara.

"Sungai dan pantai yang ada di Pahang juga, kita kena pelihara," titahnya lagi.
Turut hadir, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Tengku Abdullah turut mengingatkan pihak berwajib supaya tidak sewenangnya-wenangnya mengizinkan pembinaan kilang atau gedung berhampiran kawasan pantai yang mampu menjejaskan ekosistem dikawasan itu.


Baginda turut mencadangkan kerajaan negeri menggunakan ahli korporat, selebriti dan golongan artis untuk mempromosikan Pahang sebagai pusat pelancongan bagi Malaysia untuk menarik kehadiran lebih ramai pelawat pada masa akan datang.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.