Sunday 14 January 2018

Penerbangan tarik pelancong - Promosi Let’s Fly To Terengganu bersama AirAsia

Ahmad Razif Abdul Rahman menunjukkan pesawat AirAsia yang tertera
promosi Lets Fly To Terengganu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud,
Kuala Terengganu, kelmarin. UTUSAN/Farid Janudin

KUALA TERENGGANU 11 Jan. - Permulaan promosi Tahun Melawat Terengganu 2018, sebagai sebuah negeri pelancongan turut disemarakkan dengan paparan Let’s Fly To Terengganu pada badan pesawat syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia, AirAsia.

Ini merupakan salah satu langkah penjenamaan imej pelancongan bagi menjana impak besar bagi negeri ini dengan kemudahan perhubungan termasuk me­lalui udara terutama bagi pelancong sekitar rantau ini menerusi kerjasama yang terjalin dengan syarikat penerbangan itu.

Ketibaan pesawat AK6226 yang membawa paparan promosi itu disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini petang semalam.

Menyifatkan ini sebagai salah satu cerita kejayaan Terengganu, Ahmad Razif memberitahu, sebanyak RM2 juta akan dibelanjakan bagi kempen selama dua tahun itu bersama pihak AirAsia bagi memeriahkan lagi persada pelancongan negeri.

“Pada peringkat permulaan, kerajaan negeri telah mengeluarkan kos sebanyak RM1.2 juta bagi paparan produk termasuk pada ruang simpanan bagasi di dalam pesawat, tempat letak makanan pada belakang kerusi serta artikel dalam majalah Travel3sixty.

“Kita harap dengan adanya kolaborasi ini, kita mampu untuk mantapkan lagi promosi kerana kempen melawat Terengganu perlu dijalankan secara berterusan bagi memperkenalkan negeri ini di mata dunia,” katanya kepada pemberita.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Yang Dipertua Dewan Undangan ne­geri, Datuk Zubir Embong; Setia­usaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail; Pengarah AirAsia, Datuk Abdul Aziz Abu Bakar dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif AirAsia, Noor Neelofa Mohd. Noor.

Jelas beliau lagi, kerajaan ne­geri sentiasa agresif dalam pemantapan industri pelancongan kerana sektor tersebut mampu memberi pulangan yang berganda sekali gus membantu mengurangkan pergantungan negeri kepada sumber petroleum.

AirAsia menghubungkan ne­geri ini dengan Kuala Lumpur melalui 28 penerbangan seminggu dan kini tiga penerbangan seminggu dari Johor Bahru tiga membawa lebih 500,000 penumpang tahun lalu.

“Kita perlu berani menghadapi cabaran dan yakin dengan pendekatan kreatif dan inovatif dapat memberi impak positif dalam memperomosikan pelbagai produk pelancongan, dengan keindahan tasik, pulau, pantai dan warisan budaya negerinya dan perkhidmatan dengan jenama bertaraf antarabangsa,” ujarnya.


Beliau menambah, AirAsia turut menimbangkan membekalkan produk Terengganu Kitchen’s, nasi dagang dan keropok lekor selain jualan batik dan songket dalam pesawat.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.