Wednesday 27 December 2017

Penerbangan sulung Airasia Shenzhen ke Kuching selamat tiba


MENTERI Muda Pelancongan, Seni dan Kebudayaan negeri, Datuk Lee Kim Shin bersama Timbalan Konsul Jeneral China di Kuching, Zhang Yang (kiri) bersalam selepas mengalungkan rantai manik tradisonal kepada penumpang yang tiba dari Shenzhen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini. - UTUSAN/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA

KUCHING 27 Dis. - Penerbangan sulung AirAsia dari Shenzhen ke Kuching, AK1242 mencatat sejarah dengan menjadi laluan pertama menghubungkan Sarawak terus kepada salah satu bandar utama di China sebentar tadi.

Kapal terbang itu disambut dengan pancuran air setelah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) kira-kira pukul 7.40 pagi.

Seramai 144 penumpang iaitu sekitar 84 peratus muatan disambut dengan meriah bersama kalungan rantai manik dan muzik tradisional.

Menteri Muda Pelancongan, Seni dan Kebudayaan negeri, Datuk Lee Kim Shin berkata, penerbangan tersebut merupakan permulaan penting yang menghubungkan terus China iaitu Shenzhen yang merupakan bandar moden dengan Sarawak.

“Terima kasih diucapkan kepada AirAsia, Pihak Berkuasa Penerbangan China, operator pelancongan di China dan tempatan yang memberikan sokongan kepada laluan ini.

“Kita berharap laluan berpotensi dengan penerbangan setiap hari ini akan terus mapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menyambut ketibaan penerbangan AirAsia laluan Shenzhen-Kuching di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Konsul Jeneral China di Kuching, Zhang Yang; Pengarah Tourism Malaysia negeri, Bahruddin Sulaiman; Pengerusi Sarawak Tourism Board (STB), Datuk Abdul Wahab Aziz dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif STB, Mary Wan Mering.

Sementara itu, Zhang Yang berkata, laluan baharu itu dilihat berpotensi tinggi dalam menarik kedatangan pelancong dan ahli perniagaan untuk ke Sarawak dan China.

“Shenzhen yang merupakan hub penerbangan di sana dapat menghubungkan China dengan Sarawak malah Kalimantan, Indonesia.


“Saya yakin laluan penerbangan ini akan mapan dann mendapat sambutan,” jelasnya.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.