Monday 18 December 2017

Dream Zone antara tarikan utama MAPS

PARA pengunjung menikmati permainan Megamind Megadrop iaitu menara jatuh tertinggi di Malaysia setinggi 52 meter di Movie Animation Park Studios (MAPS), Ipoh, Perak.
- UTUSAN/ SYEFRY MONIZ

IPOH 17 Dis. - Kunjungan anda ke taman tema animasi pertama Asia di Movie Animation Park Studios (MAPS) di sini bakal menyeronokkan apabila tarikan utamanya iaitu Dream Zone dibuka tidak lama lagi.

Dream Zone yang cukup dinanti-nantikan, merupakan zon keria­ngan yang menampilkan watak-watak animasi DreamWorks seperti Megamind, The Croods, Casper the Friendly Ghost dan Mr. Peabody & Sherman.

Baru-baru ini, buat pertama kalinya, media diberikan peluang secara eksklusif untuk melihat serta merasai tarikan di situ yang siap sepenuhnya.

Antara yang istimewa ialah permainan Megamind Megadrop iaitu ‘menara jatuh’ tertinggi di Malaysia setinggi 52 meter.

Pengunjung tidak perlu gusar untuk mencubanya kerana semua tarikan permainan di MAPS adalah mengikut standard antarabangsa serta diperakui selamat oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

Selepas bersuka ria, pengunjung boleh menikmati hidangan enak seperti burger, french fries, kentang wedges dan aiskrim di Metro City Diner.

Keriangan di Metro City lebih terasa apabila anda dihiburkan dengan persembahan pentas MegaMind Rocks Musical di Dream Theatre.

Di sana, anda dapat menyaksikan gandingan watak Megamind dan rakan baiknya, Minion serta wartawan Roxanne Ritchi memperkenalkan pertaruhan muzikal rancak bersama watak antagonis, Tighten dalam konsert penuh warna-warni.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang menaiki mesin masa dalam Mr. Peabody and Sherman's Time Adventure selain menyelusuri laluan Mr. Peabody and Sherman's Sculpture Walk.

Kunjungan anda di Dream Zone tidak lengkap sekiranya anda tidak menaiki roller coaster yang membawa anda kembali ke zaman lampau dalam The Croods Crazy Chase.

Selain itu, sekiranya anda peminat watak animasi hantu mesra Casper, anda boleh membantunya dengan menembak seberapa banyak lembaga hijau yang muncul dalam Casper's Birthday Blast! Glide.

Keriangan di Dream Zone juga dapat diabadikan dengan pembelian cenderamata eksklusif watak-watak animasi DreamWorks di Dream Store.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, MAPS telah menerima hampir 300,000 pengunjung sejak dibuka pada Jun lalu.

“Secara keseluruhannya, sebanyak sejuta pelancong disasarkan untuk mengunjungi MAPS bagi tahun pertama operasinya.


“Kita yakin MAPS akan dapat membantu menarik serta mening­katkan kunjungan pelancong ke negeri Perak, bukan sahaja bagi jangka pendek tetapi juga untuk tempoh masa akan datang,” katanya.
-utusan online.
http://www.mapsperak.com/

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.