Sunday 3 December 2017

Agro pelancongan sektor berpotensi tinggi


KUALA LUMPUR 30 Nov. – Golo­ngan pengusaha sektor pertanian dan penternakan di negara ini berpeluang memperoleh pendapatan lumayan melalui industri agro pelancongan yang semakin digemari khususnya dalam kalangan masyarakat bandar dan pelancong luar negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr Ismail Bakar berkata, sektor agro pelancongan seperti per­tanian, perikanan, penternakan dan industri asas tani mempunyai potensi pelancongan yang besar jika dimanfaatkan sepenuhnya.

Beliau berkata, wa­laupun sub sektor pelanco­ngan itu sudah lama wujud di negara ini, potensinya masih tidak dikomersial dan dipopularkan sepenuhnya dan de­ngan cara tersusun.

“Salah satu trend yang sedang berkembang pada masa kini adalah minat orang ramai yang gemar keluar daripada kesibukan kota untuk menikmati alam semulajadi sambil melakukan aktiviti-aktiviti menarik yang jarang dicuba sebelum ini.

“Secara umumnya saya lihat sektor ini mempunyai potensi yang tinggi dan boleh mendatangkan kesan pengganda (multiplier effect) kepada rantaian produk agro negara, seterusnya meningkatkan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,’’ katanya.

Beliau berkata, antara produk yang mempunyai daya tarikan untuk dipasarkan melalui sektor itu adalah perusahaan ladang atau kebun terbuka, pusat pertanian berasaskan pendi­dikan, inap desa yang mempunyai tarikan pertanian dan produk-produk makanan.

“Contoh terbaik misalnya Kampung Kuala Medang, di Kuala Lipis, Pahang yang cukup terkenal dalam kala­ngan pelancong dalam dan luar negara melalui pakej inap desa dan produk hasil pertanian seperti serbuk kunyit, tapai pulut dan dodol.

“Tarikan seperti ini­­lah yang sedang dikenalpasti oleh agensi-agensi pelancongan untuk dimasukkan ke dalam pakej mereka kera­na mempunyai nilai tambah yang menarik,’’ katanya.

Tambah beliau, sektor berkenaan secara tidak langsung mampu menyediakan pelbagai peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan golongan petani dan penternak khususnya di kawasan luar bandar.

“Jika sebelum ini penduduk hanya memberi tumpuan kepada pengeluaran hasil pertanian semata-mata, kini mereka boleh memikirkan cara untuk menarik minat pelancong supaya datang ke tempat mereka.

“Peluang ini adalah salah satu bentuk sumber baharu yang boleh menyumbang pendapatan misalnya melalui pelbagai caj perkhidmatan yang disediakan kepada pelancong,’’ katanya.

Selain itu katanya, kepelba­gaian produk agro pelancongan yang terdapat di negara ini memberi peluang kepada masyarakat dan pelancong dari luar negara mempelajari aktiviti-aktiviti dalam sektor pertanian secara lebih dekat.

“Antara aktiviti yang mendapat sambutan adalah lawatan ke dusun buah-buahan dan ladang ternakan, pusat pertanian dan penyelidikan.

“Melihat potensi ini saya yakin industri agro pelancongan boleh berkembang pada skala lebih besar dan pergi lebih jauh bahkan setan­ding dengan sektor pelancongan lain yang ada,’’ tambahnya lagi.

Dalam pada itu Ismail berkata, kementeriannya turut bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) dalam usaha menyokong dan membantu usahawan yang berminat membangunkan industri agro pelancongan.


Usaha itu termasuk proses mengenal pasti dan memberi khid­mat nasihat kepada golo­ngan pengusaha yang mempunyai minat untuk mengembangkan perniagaan agro pelancongan mereka.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.