Tuesday 28 November 2017

Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaan Perkenal Lesen Khas Umrah Dan Sistem Pengurusan Maklumat Bersepadu Untuk Tangani Penipuan Umrah


PUTRAJAYA, 28 Nov 2017 – Berikutan terdapatnya peningkatan yang membimbangkan dalam kes-kes penipuan pakej umrah di Malaysia, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) telah memperkenalkan inisiatif terbaharunya iaitu Lesen Khas Umrah (LKU) dan Integrated Manasik Monitoring System (IMAMS), satu sistem pengurusan maklumat bersepadu kepada semua agensi pelancongan yang mengendalikan pakej Umrah/Ziarah pada 1 Oktober yang lalu.

Pada dasarnya, LKU dan IMAMS dibangunkan bertujuan memperkemas dan menangani permasalahan semasa di dalam industri dan masyarakat, khususnya berkaitan isu penipuan pakej Umrah dan Ziarah.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, seramai 250,000 jemaah Malaysia telah menunaikan umrah pada musim 1437/1438 Hijrah dan jumlah tersebut dijangka meningkat kepada seramai 270,000 hingga 300,000 jemaah pada 1438/1439 Hijrah.

Melalui LKU ini, hanya syarikat yang benar-benar berkualiti, berkemampuan dan berkelayakan sahaja diberi kelulusan untuk mengendalikan pakej umrah dan ziarah di negara ini. Pemberian LKU hanya boleh dipertimbangkan ke atas syarikat-syarikat pengendali pelancongan dan agensi pengembaraan (TOBTAB) yang mempunyai tiga jenis bidang perniagaan pelancongan iaitu inbound (membawa pelancong ke dalam negara), outbound (membawa pelancong ke luar negara) dan ticketing (agensi pengembaraan).

Penguatkuasaan pelaksanaan LKU telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia YB Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin pada 3 Oktober 2017.

Sistem IMAMS pula diperkenalkan sebagai pemangkin kepada transformasi pemudahcara digital yang dijangka mampu memberikan perkhidmatan pemantauan yang komprehensif dan sistematik.

IMAMS dapat membantu pihak industri dalam semua urusan berkaitan pengendalian jemaah umrah mereka seterusnya memudahkan pihak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk memantau pelaksanaan tanggungjawab oleh syarikat serta perjalanan jemaah umrah di dalam keseluruhan rantaian nilai pengendalian umrah tersebut.

Dengan adanya sistem IMAMS, kawalan yang lebih terancang, konsolidasi data yang teratur dan pengendalian pakej-pakej umrah oleh agensi-agensi pelancongan pengelola pakej-pakej umrah yang diiktiraf dan mempunyai LKU dapat dilakukan secara efektif merentasi semua agensi yang terlibat, melalui aplikasi mudah-alih dan laman sesawang yang teratur serta berkesan.

Melalui Sistem IMAMS juga, para jemaah serta keluarga dapat menyemak serta merujuk tentang kesahihan syarikat, pakej umrah yang dipaparkan oleh agensi-agensi pelancongan yang mengelola pakej-pakei umrah berstatus bukan muassasah, harga pakej dan pengesahan visa.

Bagi pihak agensi-agensi yang mengelolakan pakej-pakej umrah pula, pelaksanaan IMAMS membuka ruang kepada mereka untuk meningkatkan lagi tahap tadbir urus masing-masing dalam usaha meningkatkan kualiti sistem penyampaian dan pengendalian perkhidmatan secara keseluruhannya.

Pelaksanaan IMAMS ini juga akan memudahkan urusan untuk mengenal pasti status jemaah sama ada mereka telah berangkat atau tidak ke tanah suci, dan lokasi mereka di tanah suci.

Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU)
Demi untuk menjaga kepentingan rakyat beragama Islam di negara ini, Kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dengan kerjasama persatuan syarikat-syarikat pengendali umrah berlesen (BUMITRA dan MATTA) telah menubuhkan Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) pada 28 Ogos 2014. MKSU dianggotai oleh 15 buah agensi kerajaan.

MKSU diketuai oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan turut diwakili oleh agensi-agensi Kerajaan yang lain dan rakan-rakan strategik. Antaranya adalah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pengangkutan, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Suruhanjaya Persaingan Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Mulitimedia Malaysia, Lembaga Tabung Haji, Jabatan Wakaf Zakat dan Haji, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), serta Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera (BUMITRA).

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di www.motac.gov.my, atau hubungi 03-8891 7194/5 atau emel info@motac.gov.my.


Bakal jemaah juga boleh melayari laman sesawang IMAMS di www.imams.com.my atau hubungi Talian Info IMAMS di 1-800-88-4626.
-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.