Friday 21 July 2017

Pulau Tioman dijenamakan semula

NAJIB TUN RAZAK disambut mesra oleh penduduk dan juga pelancong asing ketika 
hadir ke Majlis Jamuan Aidilfitri di Dataran Tiong, Pulau Tioman, Pahang, semalam.
– UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN.


ROMPIN 20 Julai - Pulau Tioman bakal dijenamakan semula sebagai pusat peranginan terindah di rantau ini termasuk dengan menghidupkan kembali cadangan pembinaan landasan kapal terbang di situ.

Perdana Menteri, Datuk Se­ri Najib Tun Razak ketika meng­umum­kan perkara itu berkata, projek pem­binaan landasan kapal terbang baharu di Kampung Genting, Pulau Tioman di sini dikemukakan pada 2009 dengan peranca­ngan awal menyaksikan sebahagian lo­kasinya mengunjur ke laut.

“Saya mahu lihat Pulau Tioman mencapai potensi maksimum dan menjadi tarikan utama pelancong.

“Di rangkaian berita CNN juga memaparkan Pulau Tioman sebagai salah sebuah pulau tercantik di dunia dan Pantai Juara di Kampung Juara di sini diiktiraf pantai ke-21 tercantik di dunia,” katanya sempena Jamuan Hari Raya Aidilfitri Bersama Rakyat di Dataran Tiong, Pulau Tioman hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Ke­sejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Hasan Ariffin.

Najib berkata, pembinaan landasan tersebut amat penting dan perlu dilaksanakan secara lestari, tidak menjejaskan alam sekitar di samping memberi manfaat serta rezeki kepada penduduk.

‘‘Dengan terbinanya landasan tersebut, pesawat jenis Boeing 737 boleh mendarat di Pulau Tioman dan secara tidak langsung dapat mengubah landskap pulau peranginan ini dengan radikal.

‘‘Selain itu, saya meluluskan peruntukan RM10 juta untuk penyelenggaraan jeti di Kam­pung Tekek, Kampung Paya, Kampung Mukut, Kampung Sa­lang dan Kampung Juara,’’ katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan RM34­ juta untuk membaik pulih bekalan air di Kampung Tekek dan Kampung Air Batang.

‘‘Saya harap dengan pengumu­man ini dapat membuka lemba­ran baharu kepada penduduk di Pu­lau Tioman di samping meran­cakkan lagi kegiatan pelancongan.

‘‘Dengan kemudahan tersebut, kita menyasarkan pelancong yang mempunyai kuasa membeli ber­belanja agar masa depan pulau ini lebih terjamin,’’ katanya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.