Tuesday, June 6, 2017

Pembinaan jalan penghubung di Pulau Redang dipercepatkan

AHMAD RAZIF ABDUL RAHMAN


KUALA TERENGGANU 5 Jun - Usaha ke arah pembinaan jalan menghubungkan pantai Pasir Panjang yang menjadi lokasi tumpuan pelancongan seluruh dunia dengan perkampungan penduduk di Pulau Redang akan dipercepatkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menyedari soal itu perlu diberi penekanan kerana pelancong umumnya tertumpu di kawasan-kawasan pantai dan penempatan penduduk setempat pula bagaikan terasing.

“Keadaan itu dilihat sebagai satu kerugian kerana manfaat daripada industri pelancongan untuk menjana dan mempelbagaikan kegiatan ekonomi penduduk setempat belum meluas,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Penduduk di Masjid Kampung Baru, Pulau Redang, petang semalam sempena lawatan kerja.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail; Ahli Parlimen Setiu, Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Rakit, Bazlan Abd. Rahman.

Cadangan pembinaan jalan yang dianggarkan sepanjang lebih 3 kilometer mula dicetuskan oleh pihak kerajaan tiga tahun lalu bagi memudahkan pelancongan melawat perkampungan.

Ini seiring dengan cadangan agar perkampungan dijadikan aset pelancongan dengan penduduknya dibimbing agar mesra pelancong di samping menawarkan pelbagai produk-produk unik dan menarik.

Ini termasuk penyediaan makanan tradisional dan cenderamata, perkhidmatan inap desa manakala persekitaran sentiasa dipantau dari segi kebersihan dan keindahan.

Sehubungan itu juga Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri bercadang mewujudkan pasar malam khusus di pulau itu dengan penglibatan penduduk setempat agar mereka mendapat pengalaman.

“Mereka yang berminat untuk menceburi perniagaan ini akan diminta menghadiri kursus asas perniagaan di bawah seliaan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu,” katanya.

Menteri Besar yakin usaha itu pasti dapat menarik minat pengunjung pelbagai resort di Pasir Panjang ke kawasan-kawasan perkampungan yang akan turut menghidupkan suasana malam.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment