Saturday 17 June 2017

Hutan Rekreasi UTM tawar keindahan semulajadi

Pengunjung yang inginkan keselesaan boleh menginap
di Rumah Kampung UTM yang terdapat di sini.


JOHOR BAHRU 15 Jun - Bunyi unggas dan burung berkicauan diselangi deruan air jeram Lata Jernih yang mengalir deras ke hilir bukit jelas kedengaran. Pokok-pokok hutan yang menghijau di sekeliling, antaranya keruing, meranti dan cengal membuatkan diri terasa bagaikan berada di tengah hutan belantara.

Namun, siapa sangka lokasi itu terletak dalam kampus induk Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai di sini, yang terletak kira-kira 25 kilometer dari pusat bandar raya Johor Bahru.

Berkeluasan 53 hektar, Hutan Rekreasi UTM yang dibuka secara rasmi pada 22 Disember 2004 itu merupakan produk pelancongan yang ditawarkan menerusi inisiatif Kampus Ekopelan­congan UTM.

Bukan sahaja kaya dengan fauna dan flora, hutan simpan ber­kenaan yang dikelolakan oleh Unit Kampus Ekopelancongan UTM itu turut menawarkan pelbagai aktiviti riadah untuk pe­ngunjung. Antaranya yang disediakan termasuk meredah hutan, meredah ha­langan, memanah, flying fox, combat archery, paintball, explorace, war game selain menunggang All Terrain Vehicle (ATV).

Bagi memastikan keselamatan pengunjung, aktiviti-aktiviti tersebut turut diselia oleh jurulatih dan kakitangan berpengalaman serta terlatih.

Penolong Pendaftar Kanan UTM yang juga pengurus hutan rekreasi berkenaan, Zaidi Mahmod berkata, hutan itu baru dibuka semula pada 1 Februari lalu setelah ditutup sejak 13 November tahun lalu bagi kerja-kerja penambahbaikan dan naik taraf kemudahan asas.

“Biasanya, Hutan Rekre­a­si­ UTM ini menjadi lokasi pe­nganjuran kem perkhemahan, motivasi, team building dan bina semangat anjuran sekolah, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), swasta dan juga luar negara khususnya dari Singapura.

“Setakat ini ia mendapat sam­butan yang memberangsangkan, bukan sahaja ketika cuti umum dan persekolahan malah pada hujung minggu,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Zaidi, bagi keselesaan pengunjung, pihaknya telah menyediakan kemudahan yang lengkap seperti tapak perkhemahan yang boleh menampung hingga 50 unit khemah dan maksimum 200 peserta semalam dan juga empat calet Rumah Kampung UTM.

Kemudahan lain termasuk dewan terbuka (resak), surau, ruang makan, dapur memasak, tandas lelaki dan perempuan, ruang BBQ serta sistem siar raya.

“Kita menawarkan lapan pakej untuk pengunjung yang mahu melakukan aktiviti di hutan rekreasi ini dengan harga yang cukup berpatutan bermula daripada RM10 dan boleh disesuaikan mengikut keperluan pelanggan.

“Malah, UTM turut bekerjasama dengan tiga agensi pelan­congan bagi mempromosikan lagi pelbagai produk pelancongan yang terdapat di universiti ini termasuklah Hutan Rekreasi UTM,” katanya.

Mereka yang berminat untuk mengadakan aktiviti di Hutan Rekreasi UTM boleh menghubungi 07-5531216 atau emel kepada campus.edutourism@utm.my serta melayari www.utm.my/ecotourism untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk pelancongan yang ditawarkan.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.