Wednesday 28 June 2017

5,000 kunjungi pembukaan MAPS

SEBAHAGIAN pengunjung pada hari pertama pembukaan
Movie Animation Park Studio (MAPS) di Ipoh, Perak, kelmarin. 


IPOH 27 Jun – Lebih 5,000 orang mengunjungi hari pertama pra­pembukaan taman tema animasi pertama di Asia, Movie Animation Park Studios (MAPS) di Meru di sini, semalam.

Ahli Lembaga Pengarah MAPS, Ramelle Ramli berkata, jumlah pengunjung yang ramai menunjukkan sambutan yang diterima amat baik walaupun ada beberapa kawasan tarikan belum dibuka kerana masih dalam proses ujian teknikal.

Menurut beliau, pihaknya men­­jangkakan mampu menerima sehingga 10,000 pengunjung se­tiap hari khususnya ketika cuti umum dan hujung minggu apabila dibuka sepenuhnya nanti.

“Pembukaan hari pertama MAPS kepada orang ramai yang bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam turut berjalan lancar walaupun ada beberapa kawasan dan permainan yang masih belum beroperasi kerana masih da­lam peringkat ujian di peringkat teknikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membawa media meninjau hari pertama prapembukaan MAPS di sini semalam.

Menurut Ramelle, MAPS akan mengumumkan kepada orang ramai perkembangan tarikan yang masih belum dibuka dalam masa terdekat.

“Sehubungan itu, kami sangat mengalu-alukan sebarang maklum balas daripada pengunjung,” katanya.

Jelasnya, sempena Hari Raya Aidilfitri, MAPS turut membuat promosi istimewa diskaun harga tiket pada harga RM131 bagi dewasa dan RM104 untuk kanak-kanak sehingga 1 Julai ini berbanding harga asal iaitu RM144 bagi dewasa dan RM114 untuk kanak-kanak pada hari biasa.

“Pengunjung yang sudah mem­beli tiket secara dalam ta­lian sebelum ini boleh menebus tiket percuma bagi setiap pembelian satu tiket yang ditawarkan sehingga 1 Julai dan boleh ditebus untuk digunakan sah sehingga 30 September ini,” katanya.

Menurutnya, pembelian tiket pada harga diskaun itu berbaloi ditambah dengan pemberian tiket percuma bagi setiap pembelian tiket pada tempoh promosi.

“MAPS menawarkan 40 tarikan dan permainan yang boleh dicuba dan diterokai yang tidak terdapat dan ditawarkan di tempat lain,” katanya.
Taman tema itu dibina dengan kos RM520 juta.

Dalam pada itu, Ramelle juga berkata, MAPS dengan kerjasama Tourism Perak dan Tourism Malaysia sedang giat mempromosikan MAPS sehingga ke luar negara.

“Sekarang ini kita telah me­ngadakan promosi di beberapa negara termasuk China, India, Singapura, Thailand dan Indonesia”, katanya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.