Friday 9 June 2017

3 juta pelancong China disasar ke Malaysia

Tan Yew Sing (enam dari kiri) menyerahkan cenderamata kepada Lui Dongyuan sambil disaksikan ahli jawatankuasa MCCC pada majlis makan malam sempena meraikan pelantikan Dongyuan ke jawatan tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 7 Jun - Jumlah pelancong dari China ke Malaysia akan terus mencatatkan peningkatan tahun ini dengan disasarkan bakal men­cecah tiga juta orang.

Kaunselor Hal Ehwal Konsul Kedutaan China, Liu Dongyuan berkata, Malaysia telah pun menjadi destinasi wajib dikunjungi oleh rakyat China disebabkan beberapa faktor yang menarik minat pelancong ke negara ini.

Katanya, seramai lebih 2.1 juta pelancong dari China melawat Malaysia tahun lalu, peningkatan 26 peratus berbanding tahun sebelumnya sekali gus menca­tatkan rekod baharu kehadiran pelancong China.

“Sehingga lima bulan pertama tahun ini pula, kira-kira 1.4 juta pelancong China melawat Malaysia dan jumlah berkenaan dijangka berkembang melepasi sasaran 3 juta orang,” katanya dalam majlis makan malam sempena pelantikannya ke jawatan berkenaan baru-baru ini.

Majlis tersebut dianjurkan oleh Dewan Perdagangan Malaysia-China (MCCC) bagi bertukar pendapat mengenai pelbagai perkara termasuk visa, hubungan ekonomi dan perdagangan Malaysia-China serta pendidikan awam. Yang turut hadir, Presiden MCCC, Tan Yew Sing.

Mengulas lanjut, Dongyuan berkata, Malaysia merupakan destinasi penting kepada pasaran pelancongan China dengan pelbagai inisiatif telah dilakukan kerajaan termasuk melaksanakan langkah-langkah memudahkan visa, membuka penerbangan terus, memperkenalkan perkhidmatan pembayaran mudah alih Alipay dan pelbagai lagi.

Jelas beliau, Malaysia juga adalah satu daripada negara ASEAN terawal yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan China dan rakyat China juga merupakan pelancong ketiga terbesar ke Malaysia selepas Singapura dan Indonesia.

Selain itu katanya, China juga berjanji untuk terus menyediakan perkhidmatan visa yang lebih mudah dan selesa kepada usahawan Malaysia menjalankan perniagaan di China.

“Namun perlu diingatkan, semua usahawan yang mahu menjalankan perniagaan di China mestilah mematuhi peraturan dengan menyediakan surat jemputan secara formal yang dikeluarkan oleh rakan niaga dari China bagi mendapatkan visa perdagangan dengan mudah,” katanya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.