Monday 1 May 2017

Perlis Marathon 2017 capai lebih sasaran

Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (berdiri, tengah), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (berdiri, sembilan dari kanan), Azlan Man dan Redza Rafiq (berdiri, lima dari kiri) bergambar bersama pemenang sempena Majlis Penutup Perlis Marathon 2017 di pekarangan Stadium Tuanku Syed Putra, kangar, semalam.
UTUSAN/ Muhamad Iqbal Rosli


KANGAR 30 April - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalul­lail mengucapkan tahniah kepada kerajaan Perlis di atas ke­­jayaan menganjurkan Perlis Ma­rathon 2017 sehingga jumlah penyertaannya melebihi daripada sasarannya.

Baginda bertitah, semoga semua pihak berpuas hati dengan penganjuran Perlis Marathon bagi kali ketiga ini.

“Gunakan kesempatan ini untuk melawat tempat-tempat menarik di negeri Perlis dan saya doakan semuanya selamat dalam perjalanan pulang ke destinasi masing-masing,” titah baginda ke­tika merasmikan majlis penutup Perlis Marathon 2017 di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, di sini hari ini.

Berkenan hadir, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Put­ra Jamalullal dan Raja Perempuan Muda Perlis, Tuanku Ha­jah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq.

Penganjuran Perlis Marathon oleh kerajaan negeri dengan kerjasama NCIA kali ini telah melibatkan 12,500 peserta tempatan, dalam dan luar negara termasuk Kenya, India, Singapura, Thailand, Perancis, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Pertandingan ini melibatkan empat kategori iaitu 42 kilome­ter (km), 21km, 10km dan lima km (fun run) yang menawarkan hadi­ah wang tunai keselu­ruhan sebanyak RM250,000.

Acara 42km yang paling mencuri tumpuan ini apabila hampir 1,000 peserta yang mengambil bahagian meningkat tiga kali ganda berbanding sebelum ini.

Bagi acara 42km lelaki, tempat pertama disandang oleh Muhaizar Mohamad yang menerima hadiah wang tunai RM7,000 dengan ca­tatan masa dua jam 50 minit dan 48 saat, kedua Mohd. Athir Ismail yang menerima RM4,000 dan ke­tiga pula Mohd. Nazri Ahmad yang mendapat RM2,500.

Acara 42km wanita, tempat pertama dimenangi oleh Tahira Najmunisa Muhammad Zaid yang menerima hadiah RM7,000 de­ngan catatan masa tiga jam tiga puluh lima minit dan empat puluh enam saat, kedua Melissa Lim Yi Xin (RM4,000) dan ketiga oleh Mei See (RM2,500).

Juga disediakan hadiah cabutan bertuah iaitu sebuah kereta Peugeot 408 (2.0) tajaan Naza Group of Companies bernilai RM120,000 selain tiga motosikal iaitu tajaan Modenas bernilai RM10,000, tajaan CIMA motosikal Yamaha bernilai RM10,000 dan tajaan Kilang Gula Perlis motosikal Honda bernilai RM5,000.

Sementara itu, Mohd. Farhan Hakimi Mohd. Noor, pelajar Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Serdang, Perlis diumumkan sebagai pemenang hadiah utama cabutan bertuah apabila berjaya membawa pulang sebuah kereta Peugeot.

Mohd. Farhan Hakimi yang memasuki kategori lima kilometer ini tidak menjangka akan berjaya membawa hadiah tersebut.

Anak tukang jahit ini pula satu-satunya pelajar dari sekolahnya yang menyertai Perlis Marathon setelah guru melihat dia berpotensi di dalam sukan lumba lari.

“Saya akan meminta abang yang sulung untuk membawa saya, emak dan kakak untuk makan angin ke Kuala Lumpur,” kata Mohd. Farhan Hakimi yang datang bersama kakaknya.

Sementara itu, Redza Rafiq ber­kata, pihaknya berbesar hati untuk meneruskan kerjasama dengan kerajaan negeri bagi me­nganjurkan Perlis Marathon.

Beliau berkata, peningkatan luar biasa penyertaan menunjukkan Perlis semakin dikenali da­lam sukan ini sekaligus dapat menonjolkan pelbagai projek NCIA untuk tatapan pihak luar yang akan mengundang lebih ramai pelabur untuk sama-sama memacu ekonomi negeri ini bagi meningkatkan taraf hidup 
rak­yatnya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.