Sunday 14 May 2017

Legoland Malaysia Bakal Perkenal Hidupan Laut Aquarium Tahun Depan


ISKANDAR PUTERI, 13 Mei (Bernama) -- Legoland Malaysia Resort akan menonjolkan hidupan laut dalam aquarium di taman temanya di sini bagi menarik lebih ramai pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata Legoland Malaysia telah memperuntuk RM50 juta untuk merealiasikan fasa pertama projek itu yang akan memulakan kerja pembinaan minggu depan.

"Projek bertemakan kekeluargaan yang menjanjikan pengalaman baharu serta menarik ini merupakan kerjasama dengan pengusaha aquarium global terbesar dunia Merlin Entertainment Group and Theme Attractions.

"Ia akan dilaksanakan secara berperingkat dan mengambil masa setahun untuk disiapkan. Pengumuman selanjutnya akan dibuat oleh Legoland Malaysia pada suku ketiga tahun ini," kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan Hari Ulang Tahun Star Wars yang ke-40 di taman tema itu hari ini.

Tee berkata pihaknya menyambut baik inisiatif seperti itu memandangkan antara kluster pembangunan daerah Johor Bahru ialah untuk menarik lebih ramai pelancong menerusi taman tema.

Dalam masa sama, beliau juga melihat inisiatif itu sebagai satu komitmen dan transformasi Legoland dalam mengikut kehendak pasaran pelancong.

Tambahnya sejak dibuka mulai 2012, Legoland Malaysia telah secara konsisten menambah tarikan dan pengalaman baru kepada pelancong setiap tahun termasuk memperkenalkan Taman Tema Air, Hotel Legoland, Ninja Go dan kini Star Wars.

Tahap penginapan di hotel pula sentiasa mencatatkan lebihan tempahan pada musim-musim kemuncak iaitu cuti persekolahan serta hari kelepasan am, manakala hari biasa merekodkan tempahan sebanyak 75 peratus.

Beliau berkata berikutan sambutan yang menggalakkan, Legoland turut merancang mengembangkan perniagaan hotelnya pada masa depan.

Tee menyeru pengusaha produk pelancongan agar sentiasa menaik taraf daya tarikan masing-masing demi memastikan mereka berdaya saing di persada global.

Sementara itu, Pengarah Operasi Legoland Malaysia, Casper Bonavent berkata hari ulang tahun tahun Star Wars itu akan berlangsung mulai hari ini hingga 31 Mei.

Ia menampilkan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga sertai termasuk Imperial March, Star Wars Miniland Live, Jedi Academy, Spot The Stormtrooper dan Star Wars Trivia Hunt.

-bernama.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.