Monday 22 May 2017

Jumlah pelancong meningkat sempena Tahun Melawat Pahang

Mohd. Sharkar Shamsuddin (tiga dari kiri) menyerahkan replika kunci rumah Program Bantuan Rumah kepada Abdul Rahman Mohd. Zain (empat dari kiri) di Kampung Mempateh, Temerloh, Pahang, semalam.


TEMERLOH 21 Mei – Jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Pahang (TMP) 2017 menunjukkan peningkatan apabila merekodkan 3.9 juta orang dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding 3.6 juta orang dalam tempoh sama tahun lalu. 

Pengerusi Jawatankuasa Pe­lancongan dan Kebudayaan ne­geri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, peningkatan keseluruhan sebanyak 6.24 peratus itu menyaksikan ke­hadiran pelancong di beberapa daerah meningkat mendadak.

“Umpamanya di Lipis de­ngan rekod peningkatan 49 peratus diikuti daerah ini (28.7 peratus), Bera (26.3 peratus), Rompin (26.19 peratus), dan Kuantan (12.62 peratus).

“Berdasarkan peningkatan ini, kita yakin sasaran 15 juta pelancong mengunjungi negeri ini sempena TMP 2017 dapat dicapai,” katanya dalam sidang akhbar pada majlis penyerahan rumah Program Bantuan Rumah di Kampung Mempateh, di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang menyerahkan rumah yang dibina pelajar GiatMara kepada Abdul Rahman Mohd. Zain, 71. 

Menurut Mohd. Sharkar, selain kempen berterusan, kawasan yang menunjukkan pe­ningkatan mendadak tersebut dilihat mempunyai keunikan kerana memiliki produk dan tarikan tersendiri.

Katanya, peningkatan mendadak di Lipis yang mempunyai produk alam semula jadi menarik dan warisan sejarah negeri turut mengatasi pusat peranginan Genting Highlands yang merekodkan peningkatan pelancong sebanyak lapan peratus.

“Peningkatan ini menunjukkan kempen-kempen yang dilakukan bagi mempromosikan Pahang telah sampai kepada golongan sasaran.

“Kita akan terus melakukan kempen dan memastikan kemudahan pelancongan yang terbaik disediakan dengan pro­duk menarik dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Lanchang yang terjejas akibat banjir kilat baru-baru ini dijangka dibuka semula selepas Hari Raya Aidilfitri.

Pada masa ini, kata beliau, pihak-pihak berkenaan sedang berusaha membersihkan dan membaik pulih pelbagai prasarana di pusat konservasi ber­kenaan yang rosak termasuk di pejabat utamanya.

“Kita sedih kerana benca­na ini bukan sahaja menjejaskan kedatangan pelancong ma­lahan menyebabkan ramai ma­syarakat yang bergantung ke­pada pusat ini seperti pemandu pelancong dan peniaga hilang punca pendapatan,” ujarnya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.