Saturday 20 May 2017

20 pengamal media sertai program eksplorasi muzium

Para pengamal media bergambar di hadapan Muzium Diraja sebelum meneruskan aktiviti menyelesaikan cabaran pada program “Cabaran Media Tourism Malaysia: Jelajah Muzium Kuala Lumpur, Melawat Semula” di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR 18 Mei - Seramai 20 pengamal media cetak, elektronik dan media dalam talian dari pelbagai agensi di Malaysia terlibat dalam program "Cabaran Media Tourism Malaysia: Jelajah Muzium Kuala Lumpur, Melawat Semula" sempena memperingati Hari Muzium Sedunia yang disambut pada hari ini.

Mereka dibawa meneroka empat muzium penting di ibu kota iaitu Muzium Diraja, Muzium Negara, Muzium Etnologi Dunia Melayu dan Muzium Seni Kraf Orang Asli.

Editor Kanan Komunikasi Korporat Tourism Malaysia, Anis Rozalina Ramli berkata, program yang berbentuk pencarian harta karun itu dianjurkan buat pertama kali bertujuan untuk merapatkan hubungan antara lembaga penggalakan pelancongan dengan media melalui cara yang lebih menyeronokkan.

“Melalui kerjasama dengan media, pengalaman yang diperoleh tentang produk pelancongan kita mungkin dapat ditonjolkan kepada orang ramai dengan perspektif yang berbeza.

“Sekali gus, ini menjadi satu platform untuk menghidupkan kembali minat terhadap muzium, terutamanya dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui pada program tersebut di sini hari ini.

Pada program tersebut, penerokaan di keempat-empat muzium itu berpandukan kepada teka-teki dan petunjuk yang telah disediakan oleh kurator-kurator di Jabatan Muzium Malaysia.

Para pengamal media juga berpeluang melawat pelbagai galeri di keempat-empat muzium tersebut dan diperlihatkan dengan beberapa barangan dan artifak yang unik serta bernilai tinggi di setiap muzium.

Antara aktiviti menarik adalah para media perlu menyumpit ke arah papan dart dan menghias seorang ahli kumpulan mereka dengan pakaian tradisional berdasarkan panduan yang diberi untuk memperoleh markah lebih bagi memenangi cabaran tersebut.

Antara pengamal media yang terlibat adalah Malaysia Kini, Harian Metro, Kosmo!, Regent Media, dan 1News.

Mengulas lanjut, Anis Rozalina berkata, dengan kejayaan penganjuran program tersebut diharap dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Pada masa akan datang, program ini diharap dapat menerima kerjasama daripada pelbagai pihak seperti sektor kerajaan dan swasta yang lain.

“Oleh itu, ia mampu membuka lebih peluang untuk pihak lain menonjolkan lagi produk-produk pelancongan yang terdapat di Malaysia,” katanya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.