Monday 10 April 2017

Tarikan pelancongan baharu Port Dickson



TELOK KEMANG 9 April – Kerajaan negeri bercadang membina Kompleks Nelayan Tradisional di daerah ini bagi dijadikan tarikan pelancongan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sehubungan itu, semua jeti nelayan di daerah ini akan dinaik taraf seterusnya dijadikan kompleks ber­kenaan sejajar dengan pembangunan semula bandar Port Dickson.

“Kerajaan negeri telah menyediakan kertas dasar pemba­ngunan kompleks tersebut dan kini sedang dalam perbincangan dengan Jabatan Perikanan untuk menempatkan nelayan di tempat yang canggih dan sesuai agar pangkalan nelayan dapat diba­ngunkan semula.

“Saya berhasrat mahu menjadikan pusat nelayan sebagai tumpuan pelancong dengan pe­l­bagai kemudahan lain termasuk restoran makanan laut mewah dan hotel bertaraf enam bintang,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Ikan Hiasan Port Dickson dekat sini.

Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Datuk Tun Hairuddin Abu Bakar.

Pada perkembangan berkaitan katanya, kerajaan negeri berharap persatuan nelayan di daerah ini memberi kerjasama untuk me­realisasikan hasrat kerajaan bagi menjadikan jeti sedia ada sebagai pembangunan komprehensif.

Mengulas lanjut Mohamad memberitahu, pembangunan itu nanti tidak akan menjejaskan kawasan pantai awam sedia ada yang akan dibuka seperti biasa.

“Kerajaan negeri tidak akan benarkan kontraktor yang dilantik kelak menutup pantai awam ketika pembangunan dijalankan,” tegasnya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.