Thursday 13 April 2017

Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaan Malaysia

photo: Tourism Malaysia

PUTRAJAYA, 13 April (Bernama) --  Seramai 379 orang warga Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) telah menerima Sijil Perkhidmatan Cemerlang di Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016 MOTAC yang diadakan di sini, hari ini.

Penyampaian anugerah tersebut disempurnakan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, YB Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, dan turut disaksikan  oleh Timbalan Menteri, YB Datuk Mas Ermieyati Samsudin. Turut hadir ialah Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Datuk Hj. Ab. Ghaffar A. Tambi.

Dalam ucapan beliau, Dato’ Seri Mohamed Nazri berkata anugerah tersebut merupakan salah satu cara bagi kerajaan untuk menghargai kakitangan awam yang komited dan berusaha untuk mempertingkatkan produktiviti dan mutu kerja mereka.

“Ini akan mewujudkan persaingan yang sihat di kalangan semua pegawai dan kakitangan untuk membuktikan keupayaan masing-masing bagi menghasilkan perkhidmatan yang terbaik”, tambah beliau.

MOTAC mempunyai 11 agensi yang terdiri daripada Tourism Malaysia (TM), Arkib Negara Malaysia (ARKIB), Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Jabatan Warisan Negara (JWN), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Istana Budaya (IB), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan), Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), 
Islamic Tourism Centre (ITC) dan Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB).

Setiap satu agensi mempunyai peranan besar dalam menarik kedatangan pelancong antarabangsa ke negara ini, baik dari segi promosi sektor pelancongan mahupun pemerkasaan  budaya dan warisan negara, bagi memenuhi sasaran Pelan Transformasi Pelancongan iaitu kedatangan 36 juta orang pelancong antarabangsa yang bakal menjana pendapatan sebanyak RM168 bilion menjelang tahun 2020.

Untuk rekod, Malaysia mencatatkan jumlah ketibaan pelancong antarabangsa seramai 26.8 juta orang pada tahun 2016, peningkatan sebanyak 4% berbanding tahun 2015, dengan jumlah pendapatan pelancong antarabangsa mencecah RM82.1 bilion.

-MOTAC.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.