Thursday 13 April 2017

Kejohanan Bola Tampar Pantai Dunia Mampu Promosi Langkawi - CEO LADA


LANGKAWI, 13 April (Bernama) -- Peluang menjadi tuan rumah Kejohanan Bola Tampar Pantai Siri Jelajah Dunia 2017 Terbuka Malaysia dapat dimanfaatkan untuk mempromosikan lagi Langkawi sebagai destinasi pelancongan sukan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Azizan Noordin.

Beliau berkata ini merupakan julung kali Langkawi dipilih sebagai lokasi pertandingan bertaraf antarabangsa itu yang akan berlangsung selama dua hari bermula Sabtu ini.

"Saya berharap peserta yang mengambil bahagian akan dapat menikmati pengalaman menarik sepanjang pertandingan dan kembali lagi untuk melancong ke Langkawi di masa depan," katanya kepada Bernama semasa meninjau persiapan kejohanan itu yang bakal diadakan di Pantai Cenang.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada Persekutuan Bola Tampar Antarabangsa (FIVB) dan penganjur kejohanan E-Plus Global Sdn Bhd yang memilih Langkawi sebagai lokasi pertandingan.

"Saya berharap kejohanan ini akan berlangsung dengan lancar dan sekali gus memberikan peluang kepada Langkawi untuk menjadi lokasi kejohanan pada tahun-tahun mendatang," katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif E-Plus Global, Andrew Ching berkata ribuan peminat bola tampar pantai dijangka menyaksikan kejohanan itu yang melibatkan 32 buah pasukan daripada 17 buah negara.

Katanya pasukan dari Australia, Austria, Cuba, Republik Czech, Sepanyol, Estonia, Jerman, Indonesia, Jepun, Malaysia, Romania, Afrika Selatan, Rusia, Scotland, Serbia, Switzerland dan Amerika Syarikat adalah negara yang akan turut serta.

"Sebahagian besar daripada pasukan yang mengesahkan penyertaan mereka sudah tiba hari ini untuk menjalani latihan dan menyesuaikan diri sebelum pertandingan bermula," katanya.

Beliau berkata Langkawi merupakan lokasi kedua selepas siri pertama yang berlangsung di Shepparton, Australia.

Kejohanan membabitkan dua kategori iaitu lelaki dan wanita dengan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah AS$20,000 (kira-kira RM89,000).

-bernama.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.