Thursday 6 April 2017

Johor hab pelancongan berimpak tinggi

Tee Siew Kiong(dua dari kanan) dan Hasrin Kamal Hashim (kanan) meninjau Festival Layang-Layang Sedunia ke-22 di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang, Johor Bahru, baru-baru ini.
JOHOR BAHRU 4 April - Johor sudah bersedia untuk menjadi sebuah destinasi pelancongan serantau terkemuka justeru pelbagai usaha menarik pelancong ke negeri ini akan terus dipertingkat dan dipergiatkan tahun ini.


Dalam menjayakan usaha itu, kerajaan negeri akan memperhebatkan aktiviti mempromosikan Johor sama ada dari dalam dan luar negara menerusi beberapa pendekatan termasuk bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi merancakkan lagi sektor itu.

Sektor pelancongan Johor kini sedang berkembang pesat dan keadaan itu dibuktikan de­ngan trend peningkatan jumlah pelancong ke negeri ini sejak dari tahun 2013 seramai 5.77 juta orang, 6.42 juta orang (2014) dan 6.95 juta orang (2015).

Bagi tahun 2016 pula, Johor menyasarkan seramai lima juta pelancong mengunjungi negeri ini, namun kerajaan negeri ya­kin statistik kedatangan pelancong yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi dijangka melebihi sasaran tersebut.

Menerusi keyakinan itu, kerajaan negeri menyasarkan dapat menarik seramai 5.5 juta pelancong pada tahun ini.

Bagi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong, beliau yakin sasaran itu mampu dicapai memandangkan Johor mempunyai banyak destinasi menarik selain pelbagai produk pelancongan.

Selain itu, tambahnya, Tou­rism Johor juga merancang menjalin kerjasama dengan GOASEAN untuk mempromosikan Johor menerusi segmen ranca­ngan televisyen yang me­numpukan kepada rancangan pelanco­ngan bersempena Tahun Melawat ASEAN tahun ini.

“Kerjasama yang dijalin itu kelak bagi tujuan pemasaran pelancongan berimpak tinggi di Johor kerana kita percaya menerusi pemasaran yang aktif ia mampu meningkatkan lagi daya saing negeri ini bagi merebut peluang dalam industri pelancongan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, menerusi kerjasama itu juga, Tourism Johor dan GOASEAN bercadang untuk bersama-sama membangunkan pengisian digital berimpak tinggi termasuk menghasilkan sebuah siri pengembaraan di negeri ini.
Tambahnya, perancangan lain bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di Johor adalah dengan terus memperkasakan setiap daerah selain menggalakkan produk-produk pelanco­ngan yang baharu serta mengadakan acara tarikan yang unik.

Sebagai contoh, produk atau tempat yang akan dipromosikan ialah Taman Negara Kukup di Pontian yang baru dinaik taraf, Muar Waterfront di Tanjung Emas, Muar, Persiaran Muafakat Bangsa Johor di sini dan beberapa pusat beli-belah yang akan dibuka.

“Pada masa sama, kita juga akan fokus kepada produk signature kita yang sudah dan akan dijalankan antaranya Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (Februari), Johor Trea­sure Hunt (Mei), Johor Food Fies­ta (Julai) dan Best of Johor (November).

“Tourism Johor juga akan mempergiatkan usaha meran­cakkan lagi konsep ekopelanco­ngan dan agro pelancongan, malah kita juga sudah memperke­nalkan Caravan Park di 14 lokasi secara berperingkat-peringkat,” katanya dan memberitahu di Johor juga mempunyai taman tema bertaraf antarabangsa seperti Legoland Malaysia dan Taman Aktiviti Angry Bird.

Selain itu, tambah Siew Kiong, Tourism Johor juga akan meneruskan misi galakkan pelancongan menerusi program XPlore Johor yang dilihat mampu membawa impak positif selain mengguna pakai pendekatan kerjasama dua hala dengan negara terlibat.

Pada masa sama, XPlore Johor juga membantu pemain industri pelancongan negeri ini menerusi platform Travel Mart yang dianjurkan di mana pemilik bisnes sektor itu antara kedua-dua negara dapat merancakkan lagi per­usahaan mereka.

“Pada tahun lalu, misi galakan XPlore Johor te­lah ke Kuching (Sarawak), Manila (Filipina), Guangzhou (China), Bangalore (India), Ho Chi Minh (Vietnam), Phuket dan Phi-Phi (Thailand) dan Batam serta Jogjakarta (Indonesia).

“Bersempena tahun melawat ASEAN tahun ini, XPlore Johor akan memberikan tumpuan kepada negara di Asia Tenggara seperti Thailand dan Indonesia selain memberi tumpuan pada pasaran utama Johor iaitu China, India, Indonesia dan Asia Barat,” katanya.

Siew Kiong memberitahu, pada masa sama, pasaran antarabangsa yang lain tidak diambil mudah terutama usaha mempromosi Johor ke Eropah akan terus dipergiatkan selain promosi dalam talian dalam usaha memastikan Johor terus menjadi tumpuan.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.