Thursday 20 April 2017

11 hotel Malaysia diiktiraf hotel terbaik

Hotel The Datai di Langkawi yang diiktiraf hotel terbaik di Malaysia
oleh Anugerah Loved by Guests Hotels.com


KUALA LUMPUR 19 April –Sebanyak 11 hotel di Malaysia telah diiktiraf antara hotel terbaik di negara ini setelah mendapat Anugerah Loved by Guest 2017 oleh laman web Hotels.com.

Menurut Hotels.com, Pulau Pi­nang mengungguli senarai destinasi hotel nombor satu di Malaysia dengan empat hotel disenaraikan sebagai pemenang Anugerah Emas.

Jelas laman web tersebut, hotel lain yang tersenarai dalam anugerah berkenaan termasuk tiga di Langkawi, dua di Kuala Lumpur dan satu di Sandakan.

“Jumlah 11 hotel yang berjaya disenaraikan tahun ini merupakan tambahan dua hotel berbanding tahun lalu apabila hanya sembilan hotel berjaya memasuki senarai Loved by Guests.

“Antara hotel yang berjaya mene­rima penarafan tertinggi di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang berdasarkan tinjauan pengguna Hotels.com adalah Grand Hyatt­ Kuala Lumpur dan Campbell House Pulau Pinang manakala The Datai, The Danna dan Ambong Ambong berkongsi kedudukan sebagai hotel terbaik di Langkawi,” jelas syarikat tersebut dalam kenyataan di sini hari ini.

Hotel yang menerima Anugerah Emas Loved by Guest telah berjaya mendapat markah purata tertinggi iaitu antara 4.7 hingga 5.0 ke atas dengan pencarian hotel terbaik te­lah dilakukan oleh pakar pelanco­ngan mengambil kira jutaan panda­­­ngan pelanggan yang telah menginap di lebih 2,500 hotel dari 87 buah negara.

Di peringkat dunia, Amerika Syarikat (AS) telah disenaraikan sebagai negara paling banyak menerima Anugerah Loved by Guests dengan 969 hotel di sana berjaya memenangi anugerah tersebut.

Dalam pada itu, Pengarah Se­rantau Hotels.com bagi Greater China, Asia Tenggara dan India, Jessica Chuang berkata, tiga hotel di Malaysia turut disenaraikan sebagai hotel terbaik mengikut kate­gori masing-masing.

Katanya, Pangkor Laut Resort, The Andaman dan Shangri-La’s Rasa Sayang Resort and Spa telah dipilih sebagai hotel terbaik ma­sing-masing bagi kategori keluarga, pantai dan spa.

“Pelancong kini boleh mendapat maklumat terperinci mengenai tahap kualiti hotel secara pantas dengan hanya menggunakan te­lefon pintar melalui pandangan yang telah tersedia dalam laman web kami.

“Hotels.com telah menerima lebih daripada 25 juta pandangan daripada pelanggan yang sememangnya dapat memberi inspirasi dan membantu pelancong membuat pilihan hotel terbaik untuk mereka,” katanya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.