Inisiatif yang turut digerakkan dengan kerjasama Tourism Perak dan Tourism Malaysia Pe­rak itu disertai oleh 23 buah hotel di nege­ri ini melibatkan kategori satu hingga lima bintang.

Menerusi promosi tersebut, setiap hotel yang mengambil bahagian akan menyediakan 15 bilik setiap hari dengan harga promosi dari serendah RM100 hingga RM500, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, strategi tersebut yang mendapat soko­ngan pemain industri, diharap dapat merealisasi sasaran lapan juta pelancong ke negeri ini.

“Langkah ini sekali gus akan membawa limpahan rezeki kepada masyarakat setempat. Saya juga berharap rakyat Perak akan memberikan kerjasama dalam membantu memperkasa sektor pelancongan dari segi kebersihan dan kesantunan,” katanya.

Beliau berkata demikian keti­ka melancarkan risalah 100,000 bilik promosi sempena Tahun Melawat Perak 2017 pada malam sambutan ambang tahun baharu di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) semalam dan turut dihadiri Datuk Bandar, Datuk Zamri Man.

Antara hotel yang menyertai program tersebut ialah Syeun Hotel, Belum Rainforest Resort, MH Tower Hotel, Impiana Hotel, Ibis Styles Ipoh, Lost World Hotel, Casuarina@Meru, Weil Hotel, Kinta Riverfront Hotel, Cititel Express Ipoh, Hotel Pi Ipoh, Hotel Excelsior dan M Boutique Hotel.

Dalam pada itu, ketika membacakan teks ucapan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, beliau berkata, peng­a­n­juran Tahun Melawat Perak 2017 bukan sahaja penting kepada sektor pelancongan tetapi menyum­bang kepada perkembangan ekonomi secara keseluruhan.

Beliau berkata, kejayaan Perak menjadi negeri paling banyak menerima kunjungan pelancong domestik selama empat tahun berturut-turut seharusnya menjadi perangsang untuk memajukan lagi sektor tersebut.

“Kita mempunyai pelbagai ke­kuatan untuk dieksploitasi sepenuhnya bukan sahaja dari segi makanan dan warisan peninggalan sejarah, malah Hutan Diraja Belum yang merupakan antara hutan hujan tertua di dunia.

“Saya melihat kejayaan Perak hari ini bukanlah hasil peranca­ngan dan pelaksanaan projek kerajaan, bahkan ia datang daripada kita semua. Oleh itu, satu elemen penting untuk difikirkan ialah bagaimana untuk kita terus mempertahankan kejayaan yang telah kita capai dan kecapi sebelum ini,” katanya.