Wednesday 18 January 2017

Perlis Lancar Pakej Inap Desa Bersama Satun

KANGAR, 17 Jan (Bernama) -- Pelancaran produk ekopelancongan terbaharu Perlis-Pakej Eko Pelancongan dan Pakej Homestay Perlis-Satun di jangka menyemarakkan lagi industri pelancongan Perlis tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah Penggalakan Pelancongan Malaysia, Datuk Chong Yoke Har berkata produk 'Dua Dalam Satu' itu bertujuan mempromosi keistimewaan pengalaman percutian inap desa dua buah negara sempena Tahun Melawat ASEAN 2017 melalui satu pakej.

Beliau berkata pakej itu adalah hasil kerjasama pintar antara Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Tourism Malaysia Perlis, Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Perlis (MOTAC), Unit Perancang Ekonomi Perlis (UPEN) dan Bahagian pentadbiran Wilayah Satun, Thailand.

"Idea pakej kerjasama dan kolaborasi ini adalah langkah bijak. Saya yakin sektor pelancongan antara Malaysia dan Thailand akan berkembang dengan peningkatan jumlah ketibaan pelancong dan limpahan ekonomi," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas pelancaran pakej Kawasan Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) Homestay oleh timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) merangkap Pengarah UPEN Perlis, Izamael Zamzuri Ismail yang mewakili Exco Pelancongan Negeri Abdul Jamil Saad.

Pengarah Bahagian Pelancongan NCIA, Muhammad Zaki Mohd Saman dan Timbalan Ketua Eksekutif Bahagian Pentadbiran Daerah Satun, Rosee Bai Ka Dem turut hadir.

Chong berkata kolaborasi itu bakal merintis pembangunan laluan pelancongan baharu ke tahap global untuk Perlis lebih dikenali khususnya bagi negara ASEAN selain mengukuhkan jaringan kerjasama dengan sektor swasta.

Katanya pelancong Thailand atau Malaysia yang menjadikan Perlis sebagai pusat transit ke Pulau Langkawi atau Thailand boleh menikmati keunikan pelancongan bertemakan warisan, pertanian, makanan, arkeologi dan alam semulajadi yang terdapat di Homestay Mata Ayer, Paya Guring dan Hujung Bukit.

Di Satun pula mereka berpeluang menikmati pengalaman inap desa di Baganjai, Khuanpo, Keteri dan Wang Prachan, katanya.

Menurutnya lebih 400,000 pelawat yang tiba di Perlis setiap tahun dan kira-kira 11,000 orang mendaftar masuk di inap desa menunjukkan ramai pelancong suka tinggal di kawasan kampung.

"Saya jangka pakej ini akan mencetuskan permintaan terhdap pakej-pakej eko-pelancongan negeri dan meletakkan Perlis sebagai destinasi wajib dilawat dalam peta industri pelancongan negara," tambah beliau.

-bernama.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.