Yang Dipertua Majlis Daerah Tumpat (MDT), Rosnazli Amin berkata, projek KBC Street Art adalah kolaborasi Jabatan Pe­rancangan Bandar dan Desa MDT dengan Pertubuhan Cakna Pa­lestin Malaysia serta pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok.

Menurutnya, perubahan imej di KBC Pengkalan Kubor diharap mampu menarik kehadiran lebih ramai pelancong, lebih-lebih lagi kawasan itu merupakan antara pintu masuk utama ke Kelantan.

“Apabila siap, projek ini akan menonjolkan suatu identiti baharu kepada KBC Pengkalan Kubor selain meningkatkan keceriaan, keindahan dan kebersihan kawasan itu,” katanya ketika pe­lancaran projek tersebut di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa MDT, Wan Rahim Wan Mustapha dan Pensyarah Jabatan Seni Halus UMK, Yuhanis Ibrahim.

Mengulas lanjut, Rosnazli memberitahu, konsep yang diketengahkan dalam lukisan mural itu memaparkan keunikan budaya dan aktiviti masyarakat serta tempat menarik di negeri ini khususnya di Tumpat.

Katanya, antara yang dikete­ngahkan ialah permainan wau, congkak dan aktiviti ekonomi pen­duduk setempat seperti men­jemur ikan kering dan pembuatan budu.

“Selain itu, kita turut tampilkan keharmonian masyarakat majmuk di Tumpat seperti kaum Melayu, Cina, India dan Siam,” ujarnya.

Rosnazli berkata, projek tersebut akan dilakukan secara berperingkat mengikut fasa-fasa yang telah ditetapkan.

“Projek ini dipilih sebagai satu inisiatif untuk ‘menghidupkan’ lorong-lorong bangunan yang tidak terjaga tetapi selamat dan strategik.

“Selain itu, kita gunakan lu­kisan mural ini untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat melalui kaedah pendidikan dan pengajaran yang disampaikan da­lam medium lukisan,” katanya.