Bekas guru dari daerah Sichuan China itu berkata, keunikan buah yang dianggapnya manis dan segar itu, sukar dilupakan dan ini turut mendorongnya bersama-sama rakan tidak berfikir panjang untuk menyertai pakej yang ditawarkan.

“Duku mengingatkan saya tentang Terengganu dan saya tertarik untuk melawat negeri ini,” ujarnya yang yang mengikuti lawatan selama tiga hari dalam kumpulan pertama pelancong yang tiba sempena penganjuran Visit Beautiful Terengganu 2017.

Beliau menceritakan pe­ngalamannya ketika ketika ditemui dalam Majlis Makan Malam 3,000 Pelancong Asean Bersama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di Stadium Tertutup Gong Badak di sini semalam.

Menurut Hai Yan, sebelum ini dia hanya pernah ke Kuala Lumpur dan Terengganu merupakan negeri pertama dalam Malaysia yang dijejaki bersama sembilan rakan lain.

“Saya sangat seronok dan teruja untuk makan hidangan tradisi serta melawat tempat menarik di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Yang hadir sama dalam majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mon Space, Datuk Seri Dr. Jessy Lai.

Melalui lawatan ‘pelancong perdagangan' dari China, Thailand, Indonesia, Filipina, Si­nga­pura dan Myanmar itu pelba­gai produk dan destinasi pelancongan didedahkan di sam­ping mempertemukan mereka kepada usahawan tempatan untuk memperkenalkan produk keluaran tempatan.

Bagi Luo Chang Jin pula, penerbangan selama lima jam untuk ke Malaysia berbaloi apabila mereka dijadualkan dibawa melawat tempat-tempat menarik seperti penghasilan batik dan Memorial Batu Bersurat.

“Antara aktiviti lain termasuk ke Tasik Kenyir sebelum pulang ke Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Razif dalam sidang akhbar mengingatkan para peniaga agar sentiasa bersikap mesra dalam menyambut kedatangan pelancong dan jangan mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.

Katanya lebih 15,000 pelancong lagi daripada kumpulan pelancong asing dijangka berkunjung ke negeri ini bagi lawatan seterusnya.