Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Yasmin Tan Sri Mohd. Yazid berkata, strategi tersebut membolehkan TH Hotel dikenali sebagai peneraju perkhidmatan penginapan yang mesra Muslim dan patuh syariah di negara ini dengan menumpukan pelancong-pelancong dari negara bukan Islam seperti China dan Thailand.

Di bawah strategi penjenamaan semula itu, Yasmin memberitahu, TH Hotel akan menjadi jendela kepada setiap negeri dengan memperkenalkan budaya dan gaya hidup masyarakat setempat termasuk makanan tradisional dan produk kraftangan.

“Untuk itu, kita akan menempatkan antara 10 hingga 15 pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) yang terlibat dalam pengeluaran kuih tradisional dan kraftangan untuk ditempatkan di kios yang disediakan di setiap TH Hotel.

Ini juga termasuk mengenal pasti mereka yang terlibat dalam perniagaan yang beroperasi di rumah secara kecil-kecilan dengan harapan inisiatif ini dapat membantu melonjakkan industri tempatan selain menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Setakat ini, TH Hotel beroperasi di Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Terengganu dan Alor Setar serta sebuah Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya, Selangor.

Dibangunkan pada peringkat awal sebagai kemudahan untuk jemaah haji, rangkaian TH Hotel kemudiannya menyediakan pelbagai jenis bilik untuk dimanfaatkan di luar musim haji, selain suasana persekitaran kondusif untuk pelbagai jenis penganjuran majlis keraian, seminar, pameran atau lokasi perbincangan perniagaan.

Menurut Yasmin, dalam menghadapi kesan penyusutan ringgit dan persekitaran ekonomi mencabar, TH Hotel akan mempelbagaikan sumber pendapatan antaranya penyediaan katering sehingga ke rumah dengan menawarkan harga yang lebih berpatutan.

Dalam masa yang sama kata beliau, pihaknya juga akan menggiatkan usaha memperkenalkan kemudahan kepada syarikat-syarikat korporat dengan penggunaan dewan dan bilik seminar termasuk perkhidmatan katering di lokasi luar bagi memenuhi permintaan penyediaan sajian untuk majlis keraian dan perkahwinan.

“Selain itu, kami juga mahu menaik taraf tempahan secara dalam talian bagi meningkatkan kemasukan pelancong-pelancong dari luar negara dan menyasarkan ia dapat menyumbang pertumbuhan 30 peratus kepada hasil jualan,” katanya.

Dalam usaha mengembangkan lagi perniagaan di Malaysia, beliau memberitahu, TH Hotel turut membuka peluang kepada pihak ketiga seperti ejen pelancongan, industri perhotelan, syarikat pengurusan majlis dan taman hiburan untuk bekerjasama bagi menawarkan perkhidmatan berbentuk motivasi, ibadat dan urus niaga seperti kursus umrah terbuka, pameran, persidangan dan jualan mega kepada masyarakat umum.