Bukan itu sahaja, hotel butik lima bintang yang baru beroperasi pada awal tahun ini turut terletak di atas sebuah pusat beli-belah terkenal iaitu Plaza Merdeka menjadikan ia pilihan orang ramai dari dalam mahu pun luar negara.

Tetamu hotel ini boleh bersiar-siar tanpa perlu menaiki kenderaan ke beberapa tempat menarik dan bersejarah seperti Tebingan Kuching iaitu mereka boleh menaiki kapal layar menyelusuri Sungai Sarawak atau penambang (sampan) pergi ke Kampung Gersik untuk membeli kek lapis dan ikan terubuk masin sebagai buah tangan.

Setibanya penulis dan jurugambar di pintu masuk lobi hotel melalui Kompleks Mahkamah Lama Kuching yang dibina pada 1874, kami disambut dengan sebuah lukisan besar menunjukkan pokok Sepit Udang atau nama santifiknya Heliconia dan burung Enggang yang mengisahkan mengenai alam, hasil karya pelukis tempatan, Narong Daun, di samping senyuman manis para kakitangan hotel.

Sambutan awal itu mengesahkan apa yang dimaklumkan oleh pemilik hotel, Datuk Steve Ng Thian Yew kepada penulis sebelum ini, bahawa mereka mahu meletakkan penginapan tersebut dengan tema 'artrageous' iaitu seni-seni artistik termasuk dalam bilik yang pasti meninggalkan kenangan bermakna buat tetamu.

Menurut Steve, tema itu membolehkan pihaknya menyokong artis-artis tempatan seperti Ramsey Ong, Narong Daun, Chew Fang Chin, Nisa Addina (pemain viola) bagi mempromosikan hasil karya mereka melalui hotel berkenaan dan menjualnya kepada pengunjung yang datang.

“Bilik-bilik suite menggunakan nama dan tema artis-artis berkenaan yang mana hasil seni mereka akan dipamerkan dalam bilik termasuk biodata mereka.
“Kita mempunyai 208 bilik termasuk 45 suite dengan kapasiti sepenuhnya dapat menampung kira-kira 500 orang.